Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 9 Jan – Pelajar-pelajar SMARTER Brunei cawangan Kuala Belait, kini mempunyai kemudahan untuk melakukan aktiviti renang di pusat mereka di Jalan Mckeron di sini, setelah menerima sumbangan pembinaan sebuah kolam renang daripada Bridging Community Service (BCS Berhad) yang baru siap pembinaannya baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu majlis penyerahan sumbangan tersebut telah diadakan di Pusat SMARTER Kuala Belait, hari ini, di mana Pengarah BCS Berhad, Peter Fu menyerahkannya kepada Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman.
Menurut Peter Fu, pembinaan kolam renang tersebut telah mula dilakukan pada tahun lepas dan telah siap baru-baru ini. Sumbangan tersebut dihasratkan untuk menambahkan kemudahan yang diperlukan bagi meningkatkan aktiviti harian pelajar-pelajar di pusat berkenaan.
Di samping itu, katanya, ia adalah untuk memberikan rasa kasih sayang dan prihatin kepada kalangan pelajar-pelajar istimewa supaya merasa sentiasa dikasihi dan mampu melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh membina cara hidup sihat mereka.
Beliau juga mengongsikan bahawa BCS Berhad yang mula didaftarkan pada tahun 2014 merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan dan sejak ditubuhkan, mereka sentiasa aktif mengadakan aktiviti di sekolah-sekolah bagi membina rasa pemedulian, kasih sayang dan prihatin kepada kanak-kanak, selain menganjurkan acara-acara taklimat kepada ibu bapa dan penjaga murid-murid sekolah dengan tajuk-tajuk kekeluargaan dan sebagainya.
“Kami juga merakamkan penghargaan kepada pihak SMARTER, kerana telah memberikan peluang untuk kami menjayakan projek pembinaan kolam renang bagi kemudahan para pelajar di pusat ini, selain turut disokong sama oleh beberapa penyumbang lainnya daripada berbagai segi,” katanya.
SMARTER Cawangan Kuala Belait setakat ini mempunyai seramai kira-kira 13 orang pelajar.