Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    SMARTER rai ulang tahun ke-21

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – SMARTER Brunei yang bermula daripada sebuah kumpulan kecil terdiri daripada lima hingga sembilan orang pelajar pada 2001 yang ditubuhkan oleh mantan Presiden SMARTER Brunei, Allahyarham Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman, kini telah berkembang kepada tiga buah pusat serta menempatkan lebih daripada 120 orang pelajar anak-anak syurga pada 2022.

    SMARTER Brunei akan terus bekerja keras bagi menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada individu-individu autisme supaya mereka mampu mencapai potensi penuh serta dapat diintegrasikan ke dalam masyarakat tanpa sebarang sangkaan buruk.

    Perkara itu dinyatakan oleh Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang dalam ucapannya semasa Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa Selamat dan Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Penubuhan Persatuan SMARTER Brunei ke-21 yang berlangsung di Pusat SMARTER EDGE, Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Pemangku Ketua Kampung Perpindahan Mata-Mata Gadong, Pengiran Muhammad Nurramzu Nasri bin Pengiran Haji Mohammad Salleh; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Presiden 1 SMARTER Brunei, Dayang Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah; Naib Presiden 2 SMARTER Brunei, Mejar (B) Muhammad Talip bin Muhammad Tahir; Pengarah Urusan Samima Sdn Bhd, Haji Hidayatullah bin Haji Tejuddin serta jemputan khas.

    Dalam ucapannya lagi, Pengiran Zamri menyatakan bahawa SMARTER bukan sahaja berkhidmat sebagai komuniti sokongan tetapi sepanjang kewujudannya juga berkhidmat sebagai medium untuk menyebarkan kesedaran.

    Namun begitu, kesedaran sahaja adalah tidak mencukupi, tegasnya lagi, di mana setiap program kesedaran yang dikendalikan harus merangkumi komponen penerimaan yang membangkitkan dan memastikan hak semua individu dengan isu autisme ditegakkan.

    Majlis diteruskan dengan upacara memotong kek ulang tahun penubuhan SMARTER Brunei ke-21 yang disempurnakan bersama oleh Pengiran Muhammad Nurramzu Nasri dan Pengiran Zamri.

    Majlis juga menyaksikan penyampaian sumbangan daripada Samima Sdn Bhd kepada SMARTER EDGE berupa peralatan tulis bernilai $1,200 yang disampaikan oleh Haji Hidayatullah kepada Pengiran Zamri.

    Majlis sambutan kemudian diteruskan dengan bacaan Yasin, tahlil, Doa Selamat dan Doa Kesyukuran.

    Pengiran Muhammad Nurramzu Nasri dan Pengiran Zamri serta jemputan khas semasa menghadiri majlis yang berlangsung di Pusat SMARTER Edge, Kampung Perpindahan Mata-Mata Gadong, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...