Monday, March 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    SMARTER terima sokongan ramai

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Mahasiswa-mahasiswi perubatan Tahun 3 Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) baru-baru ini, telah berjaya menerima pelbagai sumbangan daripada orang ramai bagi membantu dalam penganjuran Konsert SMARTER ke-5 yang akan diadakan pada akhir September depan.

    Antara barang yang diterima seperti pakaian, aksesori, permainan, barangan elektrik dan buku-buku yang dikumpulkan dengan bantuan seramai 19 orang sukarelawan di Bangunan Utama PAPRSB IHS, UBD pada 1 hingga 4 Ogos lalu.

    Salah seorang daripada empat pelajar perubatan Tahun 3 di bawah Team ALICE, Dayang Aqilah Zainudin melahirkan rasa penghargaan atas penyertaan aktif orang ramai yang sama-sama menghulurkan sumbangan untuk acara seterusnya iaitu jualan garaj yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini semasa acara Bandarku Ceria di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan 19 Ogos di Kelab Tenis Brunei.

    Acara-acara tersebut merupakan sebagai satu usaha untuk mengumpul dana bagi membantu penganjuran konsert muzik ‘Looking Through Autism Wonderland’, acara kebajikan yang dianjurkan dengan kerjasama pertama antara PAPRSB IHS dan SMARTER Brunei.

    Sebahagian ahli Team ALICE dilihat menyusun barangan hasil sumbangan orang ramai bagi penganjuran Konsert SMARTER ke-5.
    Pelbagai jenis barangan diterima semasa kempen pengutipan dana barangan terpakai sumbangan orang ramai selama empat hari dengan bantuan sukarelawan.

    “Matlamat kami adalah untuk menjana dana maksima untuk konsert yang akan datang. Di samping itu, acara ini merupakan peluang yang hebat untuk kita sebagai pelajar perubatan menggunakan kemahiran profesional dan interpersonal kami di kalangan orang awam untuk meningkatkan kesedaran dan membetulkan kesalah fahaman yang berleluasa tentang autisme dalam komuniti,” kata Dayang Wardatul Ramzuna, seorang lagi ahli Team ALICE.

    Tambahnya, “Kami bukan sahaja mengumpul dana untuk kesinambungan SMARTER, tetapi untuk memerangi stigma dan peminggiran penduduk individu dengan autisme di Brunei Darussalam.”

    Menjelaskan mengenai pasukan mereka, beliau berkata, Kumpulan ‘ALICE’ yang bererti ‘Appreciating the Lives of Individuals with Autism and Celebrating their Excellence’ adalah mewakili kerjasama rasmi pertama antara PAPRSB IHS dan SMARTER.

    “Projek ini juga sebagai sebahagian daripada Modul Kajian Khas Komuniti tahun ketiga kami, yang bertujuan untuk menghasilkan doktor masa depan yang holistik,” jelas Dayang Wardatul.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda