Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Sempena ulang tahun ke-30 Jolibee di Negara Brunei Darussalam Ogos ini, syarikat makanan segera berkenaan telah menyampaikan sumbangan berupa mural hiasan kepada Pusat SMARTER Brunei di Sungai Hanching, petang tadi.
Majlis yang disempurnakan oleh Presiden SMARTER, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman bersama Ketua Operasi Jolibee Brunei, Christina Ward berkenaan disaksikan oleh warga SMARTER dan juga Jolibee.
“Jolibee melihat sambutan ini sebagai simbol semangat dan minat untuk menyokong SMARTER Brunei. Kami berharap selepas upacara ini, Jolibee akan dapat membantu menyebarkan kegembiraan dalam institusi ini melalui mural Jolibee & Friends,” jelas Christina sebelum upacara memotong reben.
Malai Haji Abdullah pula menyatakan penghargaan dan terima kasih atas sokongan berterusan Jolibee kepada SMARTER Brunei yang memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk sekalipun.

“Dengan penglibatan ini, Jolibee dapat membuktikan penerimaan masyarakat terhadap warga SMARTER Brunei. Apa yang kami mahukan adalah penerimaan orang ramai terhadap mereka,” jelasnya lagi.
Jolibee Brunei telah pun bekerjasama dengan SMARTER Brunei dan ini memberikan peluang kepada SMARTER Brunei bergembira seperti masyarakat lain.
Majlis petang tadi turut diserikan dengan sesi bergambar bersama maskot dan mural yang telah diletakkan di dewan pusat berkenaan.