SMARTER terus dapat perhatian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Peranan SMARTER Brunei dalam memberikan sokongan kepada kanak-kanak dan golongan autistik serta keluarga mereka terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada badan berkenaan termasuk peralatan bagi keperluan pelajar-pelajar pusat berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Majlis Perasmian Monkey Bars telah diadakan di Pusat EDGE SMARTER Brunei, Mata-Mata, hari ini di mana hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmiannya ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Pemangku Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER Brunei, Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah; Pengasas Projek Music Speaks, Shana Holmes, pegawai-pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, SMARTER Brunei dan para jemputan khas.

Pada majlis berkenaan, Sharifah Adila Surya menyatakan penghargaan kepada Shana dan keluarganya serta penaja-penaja yang tampil ke hadapan untuk menyokong acara kebajikan, Music Speaks bagi membantu pelajar-pelajar di pusat berkenaan.

Beliau menyatakan bahawa usaha itu menunjukkan bahawa golongan belia muda mampu untuk memainkan peranan yang penting dalam membantu golongan yang memerlukan dan mereka juga boleh menjadi penghubung di antara masyarakat dengan pelajar-pelajar istimewa pusat berkenaan.

Majlis diteruskan dengan perasmian monkey bars yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan, Pengiran Zamri dan Shana Holmes.

Peralatan bantuan monkey bars serta kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian bagi pusat berkenaan merupakan sumbangan Shana Holmes di mana beliau berjaya untuk mengumpul kutipan sebanyak kira-kira $45,000 menerusi Projek Music Speaks.

Perasmian monkey bars yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan (tengah), Pengiran Zamri (kiri) dan Shana Holmes (kanan).