BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Unit Kaunseling dan Kerjaya, Sekolah Menengah Berakas (SMB), kelmarin, telah mengadakan orientasi bagi 184 orang pelajar Tahun 9 bersama dengan ibu bapa mereka yang diadakan di Dewan Anggerek sekolah tersebut.
Objektif orientasi adalah untuk mendedahkan dan memberi maklumat kepada ibu bapa mengenai kriteria kemasukan ke Tahun 9, sistem pembelajaran dan hala tuju penuntut, mengeratkan silaturahim antara para guru, penuntut dan ibu bapa serta membantu penuntut meneroka potensi diri dan menentukan matlamat hidup.
Majlis orientasi dimulakan dengan kata-kata aluan daripada Pengetua SMB, Awang Alexandar bin Bandang diikuti dengan taklimat kriteria kemasukan ke Tahun 9 dan taklimat hala tuju ‘Where Am I? Where I Can Go?’ oleh Guru Kerjaya SMB, Hajah Noorisda binti Haji Ismail. Taklimat Keibubapaan juga disampaikan oleh Kaunselor sekolah, Hajah Norjinah binti Haji Musa.
Di akhir majlis orientasi, ibu bapa dijemput untuk menyaksikan pameran subjek-subjek yang ditawarkan dan bertanyakan dengan lebih lanjut mengenai subjek tersebut kepada guru-guru yang mengajar di Tahun 9.