SMC cadang Stadium Tertutup Sibu dinamakan sempena nama Adenan

SIBU, 13 Jan – Majlis Perbandaran Sibu (SMC) hari ini mencadangkan untuk menamakan Stadium Tertutup Sibu bersempena nama Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Pengerusinya, Datuk Tiong Thai King berkata ia sebagai mengenang jasa dan sumbangan yang diberikan ketua menteri itu kepada rakyat Sarawak.

“Stadium itu bukan di bawah bidang kuasa SMC tetapi kami akan bawa cadangan ini kepada Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sarawak sedikit masa lagi,” katanya.

Tiong yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Dudong ditemui selepas mengetuai warga kerja SMC menandatangani buku ucapan takziah pemergian Allahyarham pada Rabu, di Dewan Suarah Sibu, hari ini.

Ruangan bagi memberi penghormatan dan merakamkan takziah itu dibuka kepada orang ramai dari 9 pagi sehingga 9 malam selama dua hari bermula hari ini.

Turut hadir pada upacara itu ialah Residen Bahagian Sibu Hii Chang Kee dan Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming. – Bernama