Sunday, October 2, 2022
33.3 C
Brunei

SMEMM fokus keperluan PMKS pasca pandemik

-

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC (SMEMM) ke-28 telah diadakan pada 9 dan 10 September lalu, di Phuket, Thailand, dengan tema Inclusive Recovery of APEC MSMEs through Bio-Circular- Green (BCG) and High Impact Ecosystem, di mana anggota ekonomi APEC telah mengenal pasti keperluan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk bersedia menghadapi dunia pasca pandemik.

Ahli-ahli mesyuarat turut mengongsikan amalan terbaik dan menyampaikan pandangan berhubung empat tema kecil iaitu Accelerating BCG Adoption, Inclusive Digital Transformation, The Next Normal MSME Financing and Debt Restructuring dan Coping with Evolving Market Landscape: High Impact Policy.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, mesyua-rat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Naib Pengerusi Lembaga Promosi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Thailand, Tuan Yang Terutama Supattanapong Punmeechaow, dan dihadiri oleh menteri-menteri dan wakil-wakil dari ekonomi APEC yang bertanggungjawab ke atas PMKS.

Turut hadir ialah wakil-wakil Majlis Penasihat Perniagaan APEC dan Sekretariat ASEAN.
Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

Semasa mesyuarat berkenaan, beliau telah mengongsikan bahawa transformasi digital merupakan salah satu agenda utama bagi Negara Brunei Darussalam, di mana Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 telah dilancarkan pada 2020 yang menggariskan pelbagai usaha bagi mencapai kemakmuran dan kemapanan ekonomi melalui transformasi digital.

Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal) ketika menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC (SMEMM) ke-28 di Phuket, Thailand. – Gambar serahan MOFE

Selain itu, Brunei juga sedang giat membuat penambah baikkan infrastruktur untuk mendokong usaha digitalisasi, bukan sahaja untuk dapat dimanfaatkan oleh seluruh penduduk, termasuk mereka yang berada di kawasan paling terpencil, tetapi juga mempermudah PMKS dalam transformasi digital mereka.

Negara juga akan terus berusaha untuk memperbaiki dan mempermudah proses dan dasar kawal selia digital untuk perniagaan, termasuk membangunkan dasar dan sistem untuk mewujudkan struktur pasaran yang interoperable daripada berasaskan kertas kepada perkhidmatan berasaskan elektronik.

Beliau turut mengongsikan mengenai peningkatan usaha-usaha melalui program, inisiatif pembinaan kapasiti, dan kemudahan pembiayaan bagi mendokong PMKS bagi peralihan digital di Brunei.

Di kesempatan itu, memandangkan ia merupakan penggal terakhir bagi Brunei mempengerusikan Kumpulan Kerja PKS APEC (SMEWG), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli ekonomi APEC atas penyertaan aktif mereka dan kerjasama berterusan yang diberikan semasa Brunei Darussalam menjadi Pengerusi APEC SMEWG.

Menerusi Kenyataan Pengerusi Mesyuarat PKS APEC 2022, Kerajaan Thailand menyatakan komitmen ahli-ahli ekonomi APEC untuk menjadikan komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040 berdasarkan matlamat Wawasan Putrajaya 2040, termasuk melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Aotearoa.

Sebelum Mesyuarat APEC SMEMM ke-28 bersidang, Mesyuarat APEC SMEWG ke-54 juga telah diadakan di tempat yang sama pada 7 dan 8 September. Ketua Pembangunan dan Sokongan Perniagaan, Darussalam Enterprise (DARe), Dayang Norlela binti Suhailee selaku Pengerusi APEC SMEWG bagi 2021-2022 telah membentangkan laporan hasil daripada Mesyuarat SMEWG bagi 2022.

Turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Pengarah di Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, Allen On serta pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan DARe.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

19 terbunuh, 28 cedera dalam kejadian letupan bom

ISLAMABAD, 30 SEPT – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian pengeboman nekad di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan,...
- Advertisment -