SMIC rancang IPO terbesar as$7.5 Bilion

SHANGHAI, 6 JULAI – Pengeluar cip terbesar China, Semiconductor Manufacturing International Corporation (SMIC) merancang mengumpul AS$7.5 bilion dalam penyenaraian saham (IPO) Shanghai yang akan menjadi yang terbesar negara dalam satu dekad.

Butir-butir tawaran dikeluarkan dalam satu kenyataan yang difail hari ini di laman sesawang bursa saham Shanghai dan mendorong saham syarikat yang disenarai di Hong Kong meningkat lebih daripada 20 peratus.

Syarikat itu berkata ia akan mengumpul sekurang-kurangnya 46.3 bilion yuan, lebih dua kali ganda daripada sasaran asal, selepas menetapkan harga tawarannya berikutan peningkatan dalam nilai saham Hong Kong selama seminggu.

Namun SMIC berkata jika peruntukan berlebihan dilaksanakan, ia mungkin mengumpul sehingga 53.2 bilion yuan. Tawaran itu akan menjadi yang terbesar di China sejak Bank Pertanian China mengumpul 68.5 bilion yuan dalam tawaran awam awal pada 2010.

China telah melonggarkan peraturan dalam tempoh beberapa tahun lalu untuk menggalak lebih banyak penerbitan saham domestik oleh firma teknologi besar di China tatkala Beijing mencabar Amerika Syarikat untuk mengungguli dalam teknologi global.

Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada strategi Parti Komunis untuk membangunkan firma domestik untuk menjadi pemimpin global dalam kecerdasan buatan, data besar dan sektor maju lain SMIC ialah pengeluar kontrak terbesar di China untuk cip dan komponen utama dalam pelan Beijing untuk mencapai status mampu diri dalam semikonduktor. – AFP