Smith Rowe hukum kesilapan Jorginho

LONDON, 13 MEI – Thomas Tuchel mengakui kekalahan 1-0 Chelsea di tangan Arsenal adalah sebagai ‘amaran’ selepas Emile Smith Rowe menghukum kesilapan dilakukan Jorginho untuk menafikan impian The Blues memburu kedudukan empat teratas di Liga Perdana Inggeris.

Pemain tengah Chelsea, Jorginho dipersalahkan kerana membuat kesilapan menghantar bola ke belakang yang berakhir dengan pemain muda Gunners Smith Rowe menjaringkan gol pada separuh masa pertama di Stamford Bridge.

Pasukan Tuchel kurang berkualiti di hadapan petak gol ketika mereka mencatatkan kekalahan ketiga dalam 26 perlawanan di semua kejohanan.

Chelsea kekal berada di tangga keempat, tetapi harapan mereka untuk memburu kelayakan Liga Juara-Juara musim hadapan melalui kedudukan empat teratas kini dalam bahaya.

Mereka kini enam mata di hadapan pasukan kelima, West Ham, yang mempunyai kelebihan satu perlawanan, dan tujuh mata dipisahkan dengan Liverpool di tangga keenam, menjadi pencabar terbesar dengan mempunyai kelebihan dua perlawanan.

“Saya tidak tahu bagaimana Arsenal boleh menjaringkan gol jika kami tidak ‘menghadiahkan’ kepada mereka. Kami jarang memberikan gol sendiri, satu hadiah buat mereka,” kata Tuchel.

“Serangan kami tumpul di pintu gol, tenaga kami tidak seperti kebiasaan. Saya tidak gembira dengan apa yang saya saksikan. Mungkin terlalu banyak perubahan dari perlawanan sebelum ini dan saya bertanggungjawab sepenuhnya atas semua ini. Mungkin ini amaran terakhir buat kami semua.”

Persembahan suram Chelsea bukan persediaan yang diperlukan untuk mencuba memenangi kejuaraan pertama era kendalian Tuchel pada perlawanan Piala FA peringkat akhir pada Sabtu menentang Leicester di Wembley.

“Saya rasa kekurangan tersebut dapat dilihat sedikit semasa latihan dan saya kurang bernasib baik kerana ia terbukti hari ini di atas padang,” kata Tuchel.- AFP

Pemain Arsenal Emile Smith Rowe meraikan gol tunggal semasa pertemuan menentang Chelsea di Stamford Bridge, baru-baru ini. – AP