Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Bagi menghargai para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan, Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) telah mengadakan Majlis Anugerah Akademik BC-GCE ‘O’ Level 2017 di ibu negara, hari ini.
Pada majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) itu, seramai 34 orang pelajar telah menerima Anugerah Penuntut Cemerlang selepas mendapat lapan kredit penuh, 14 orang menerima Anugerah Penuntut Cemerlang A*; 19 orang menerima Anugerah Galakan Pelajar ‘Zon Hijau’ selepas berjaya mengekalkan prestasi cemerlang Peperiksaan BC-GCE ‘O’ Level seperti peperiksaan kelayakan dan juga Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan anugerah kepada para penuntut ialah Pemangku Pengarah Jabatan Sekolah-sekolah, Dayang Marina Chek binti Bujang.
Pengetua sekolah, Haji Juma’ata Sonadey dalam ucapannya berkata, SMJA dalam Peperiksaan BC-GCE ‘O’ Level 2017 telah mencapai peratusan lulus yang sangat memberangsangkan.
“Sebanyak 44.8 peratus pelajar telah mendapat sekurang-kurangnya lima kredit di dalam peperiksaan tersebut dan jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 1.68 peratus dari tahun 2016,” kata Haji Juma’ata Sonadey.


“Selain itu, sebanyak 10 daripada 20 mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan pencapaian dari tahun sebelumnya dan 10 lagi mata pelajaran telah melepasi pencapaian kebangsaan,” tambah beliau.
Turut menjadi penyeri majlis ialah tayangan video mengenai SMJA dan persembahan tarian daripada kelab tarian sekolah berkenaan.
Selain penyampaian hadiah, majlis juga menyaksikan penyampaian sijil dan trofi kepada guru-guru sekolah serta penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat dan Pengetua STPRI.
Selain bagi menghargai usaha para pelajar, majlis tersebut juga diadakan sebagai ucapan tahniah kepada ibu bapa dan penjaga serta para guru yang berusaha dalam memastikan kejayaan para pelajar.