Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 2 FEB – Dengan hasrat untuk menyemai budaya gaya hidup sihat, lebih 20 kumpulan terdiri daripada guru dan kakitangan Sekolah Menengah Muda Hashim Tutong (SMMHT) telah memulakan misi cabaran larian maya SMMHT ke-4 dengan acara perasmian di Kompleks Sukan Tutong, kelmarin.
Cabaran larian bersempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 yang bakal menjelang itu dibukakan selama 23 hari iaitu akan berakhir pada 23 Februari nanti yang mana setiap kumpulan terdiri daripada dua orang peserta dan setiap peserta dikehendaki untuk melakukan misi larian sama ada outdoor mahu pun indoor tidak kurang 115 kilometer.
Menerusi cabaran sihat berkenaan, tiga pasukan terawal yang berjaya menamatkan sejauh 230 kilometer secara keseluruhannya dikira sebagai pemenang utama mengikut urutan, di samping itu penghargaan bagi penglibatan semua peserta dalam menjayakan aktiviti tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan juga akan diraikan.