‘Smocking’ jadi pilihan pelanggan

BINTULU, 7 Dis – Mungkin ramai tidak mengetahui mengenai ‘smocking’ kerana cabang seni jahitan itu berasal dari negara Eropah khususnya United Kingdom, terkenal di Amerika Syarikat dan Australia, namun begitu kemahiran itu dikuasai seorang anak tempatan yang tinggal di bandar minyak dan gas ini.

Kemahiran bernilai tinggi pemilik Exclusive Smocking, Erpha Ahdayani Othman, 41, menyaksikan beliau sentiasa menerima tempahan gaun smocking kanak-kanak dari negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Ireland, Australia selain tempahan dari dalam negara sejak tahun 2008.

Berkongsi pengalaman kepada Bernama, Erpha berkata kemahiran menjahit smocking dress yang dimilikinya adalah hasil belajar sendiri hanya menerusi pembacaan buku dan majalah dan rujukan di internet.

“Smocking adalah sejenis cabang seni jahitan sulaman yang dilakukan dengan tangan, sangat jarang dilakukan dengan mesin dan dilakukan melalui beberapa proses tertentu sebelum menjadi sepasang pakaian. Untuk menghasilkan smocking dress proses bermula dengan membuat kedutan pada kain melalui proses mengedut dan boleh ditambah dengan perincian lain seperti sulaman bunga.

“Ada beberapa corak asas smocking seperti ‘cable stitch; ‘trellis’, ‘wave stitch’ dan sebagainya yang boleh kita aplikasikan pada pakaian anak damit dan kanak-kanak. Selepas proses smocking kita boleh tambah perincian lain seperti sulaman bunga ros untuk tambah kecantikan kepada pakaian anak damit dan kanak-kanak,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Perusahaan Pekebun Kecil Getah (Risda) yang berasal dari Kampung Dagang, Bekenu ini berkata beliau membuat proses kedutan menggunakan mesin ‘pleater’ yang diimport khas.

Katanya, beliau mampu menyiapkan sepasang smocking dress dalam tempoh seminggu bermula proses membuat kedutan, smocking, sulam dan menjahit dress bergantung kepada corak yang diminta pelanggan.

“Smocking dress yang saya hasilkan khas untuk anak damit hingga enam tahun namun begitu ada juga smocking dress untuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 10 tahun. Setiap smocking dress yang saya hasilkan berharga antara RM250-RM500 bergantung kepada corak smocking dan material.

“Pelanggan boleh membuat tempahan mengikut tema seperti sambutan hari Krismas, hari raya ataupun hari lahir yang diinginkan serta bajet mereka. Dalam tempoh sebulan saya mampu menghasilkan empat atau lima pasang smocking dress,” katanya sambil menambah turut dibantu suami Jeffery Abang, 49, dan anak lelaki Alif Harriz, 14, untuk menyiapkan setiap tempahan. – Bernama

Pemilik Exclusive Smocking, Erpha Ahdayani Othman membuat sentuhan terakhir ke atas ‘smocking dress’ yang ditempah oleh pelanggannya. – Bernama