SMPW rai ulang tahun jubli emas

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 11 SEPT – Sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun jubli emas Sekolah Menengah Perdana Wazir (SMPW), persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah berkenaan telah mengadakan acara sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah serta bacaan Yasin, tahlil dan Doa Kesyukuran yang diadakan di sekolah berkenaan, malam tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Zainal Abidin bin Haji Kepli.

Turut hadir ialah mantan setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal yang juga merupakan pengetua tempatan kedua SMPW dari 1982 hingga 1984, di samping lima bekas pengetua lain, pegawai-pegawai dari Kluster 6 Jabatan Sekolah-sekolah, para pengetua dan timbalan pengetua dari sekolah-sekolah menengah Kluster 6, ahli-ahli jawatankuasa eksekutif PIBG sekolah berkenaan serta ahli-ahli alumni.

Majlis dimulakan di surau sekolah bagi sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, bacaan Yasin, tahlil dan Doa Kesyukuran serta sembahyang Fardu Isyak berjemaah.

Kemudian, majlis diteruskan di dewan sekolah di mana para jemputan menyaksikan satu siri video yang dihasilkan oleh kakitangan sekolah, mengetengahkan sejarah dan bagaimana ia membentuk sekolah berkenaan hari ini.

Tetamu kehormat memotong kek ulang tahun ke-50 SMPW.

Majlis juga diselajurkan dengan merasmikan penyiapan Wall of Learning & 50 Years Journey Timeline, siri mural yang dihasilkan oleh pelbagai jabatan di sekolah berkenaan sempena sambutan jubli emas.

Ia bertujuan sebagai platform bagi para pelajar belajar menerusi interaksi dengan mural berkenaan sepanjang dinding koridor sekolah berkenaan, yang juga berfungsi untuk memeriahkan kawasan sekitar dengan karya seni berwarna-warni.

Pada majlis itu, tetamu kehormat menyampaikan sijil-sijil kepada perwakilan setiap jabatan yang telah menghasilkan mural berkenaan.

Hadiah istimewa juga diberikan kepada mural paling interaktif iaitu yang dihasilkan oleh Jabatan Kemanusiaan.

Bagi meraikan sambutan jubli emas SMPW, tetamu kehormat bersama mantan dan pengetua sekolah berkenaan juga bersama-sama memotong kek sebelum diakhiri dengan menikmati jamuan.