SMS Brunei Prihatin Dana 2019-2020 dilancar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Kebajikan anak-anak yatim terus mendapat perhatian daripada semua pihak yang berkenaan dengan Projek SMS Brunei Prihatin bagi Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim (DANA) merupakan adalah satu usaha DANA dalam mempelbagaikan cara atau mekanisme untuk orang ramai menyalurkan sumbangan ikhlas mereka khusus kepada anak-anak yatim di negara ini.

Sehubungan dengan itu, Majlis Pelancaran SMS Brunei Prihatin bagi DANA Tahun 2019-2020 diadakan di Dewan Bridex 2, Kampung Jerudong, hari ini. Hadir untuk menyempurnakan pelancaran SMS Brunei Prihatin bagi DANA ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Terdahulu sebelum itu, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku ketua pegawai eksekutif DANA menyatakan bahawa dengan kerjasama dan sokongan padu daripada pihak yang berkenaan, Projek SMS Brunei Prihatin bagi DANA pada 2018-2019 telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak $56,116.

Beliau menerangkan lagi bahawa projek itu merupakan kali ke-14 dilaksanakan sejak ia bermula pada 2006.

Beliau turut menyatakan bahawa bermula 2019, tempoh talian perkhidmatan SMS Brunei Prihatin bagi DANA akan dipanjangkan selama enam bulan iaitu bermula hari ini hingga 12 Jun 2020.

Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi ketika melancarkan SMS Brunei Prihatin bagi DANA tahun 2019-2020. – Gambar oleh Muiz Matdani

Bagi menjayakannya projek itu, dua buah syarikat telekomunikasi telah bersedia memberi kemudahan perkhidmatan SMS iaitu DST dan Syarikat Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif).

Orang ramai yang berhasrat untuk memberi sumbangan mereka kepada anak-anak yatim melalui SMS Brunei Prihatin bagi DANA bolehlah melakukannya melalui SMS sama ada $1, $5, $10, $15, $20 $50 atau $100.

Setiap SMS yang dikirim khusus bagi sumbangan ini tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan oleh kedua-dua syarikat telekomunikasi berkenaan.

Bagi pengguna talian DST dan Progresif yang ingin membuat sumbangan bolehlah menaip kata laluan DANA dan diikuti dengan jumlah sumbangan (1 atau 5 atau 10 atau 15 atau 20 atau 50 atau 100) tanpa jarak dan menghantarnya ke nombor 38111, misalnya seperti DANA5 (bagi sumbangan $5).

DANA sangat menghargai sumbangan ikhlas daripada semua dermawan dalam membantu DANA melaksanakan program-program bantuan kepada anak-anak yatim di negara ini.