SMS Brunei Prihatin kumpul lebih $350,000

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Kempen kutipan derma melalui SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim telah berjaya mengumpulkan sejumlah $350,824.

Kempen kutipan itu dikendalikan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), DST Sdn Bhd dan Progresif Sdn Bhd dan berjalan selama 91 hari dari 2 Mei hingga 31 Julai lalu.

Hasil kutipan berkenaan telah diserahkan pada majlis yang berlangsung di KKBS, di sini, hari ini, di mana sumbangan diterima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif DST Sdn Bhd, Radin Sufri bin Radin Basiuni telah menyerahkan hasil kutipan daripada pelanggan DST berjumlah $305,824 dan sumbangan berjumlah $10,000 daripada syarikat berkenaan.

Sementara itu, Progresif berjaya mengutip sejumlah $31,536 daripada pelanggannya dan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar yang turut menyerahkan $3,464 hasil sumbangan syarikat itu.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menerima sumbangan daripada Radin Sufri bagi pihak DST.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai bersama Radin Sufri, Hajah Nurul Haniah, Dayang Saidah dan Pengiran Siti Rahmah pada majlis itu.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menerima sumbangan hasil kutipan SMS Brunei Prihatin bagi Tabung Anak-AnakYatim 2020 daripada Hajah Nurul Haniah bagi mewakil Progresif.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut dan Pemangku Pengarah JAPEM, Pengiran Siti Rahmah binti Pengiran Haji Salleh.

Menurut kenyataan yang diberikan, SMS Brunei Prihatin adalah projek tahunan yang diungkayahkan oleh KKBS melalui JAPEM, RTB, DST dan Progresif.

Projek ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai sejak mula dilaksanakan pada 2005 yang mana semua hasil kutipan yang diterima disumbangkan sepenuhnya kepada Tabung Anak-Anak Yatim.

Hasil kutipan derma yang diterima menunjukkan keprihatinan dan pemedulian yang berterusan daripada orang ramai terhadap golongan yang kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim di negara ini.

Dalam hal ini, tambah kenyataan, KKBS akan berusaha memastikan hasil kutipan Tabung Anak-Anak Yatim akan digunakan untuk menangani keperluan anak-anak yatim bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan mereka dikelinga dengan lebih khusus selain daripada penyerahan derma yang lazim diadakan.

Pihak KKBS juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak RTB, DST dan Progresif dalam sama-sama menjayakan kempen SMS Brunei Prihatin bagi tahun 1441H/2020M dan diharapkan hubungan kerjasama ini dapat membantu meringankan bebanan serta menjamin kesejahteraan anak-anak yatim di negara ini.

Orang ramai juga boleh menderma ke Tabung Anak-Anak Yatim secara dalam talian (online) melalui Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dengan nombor akaun 00001010049034 atau menghantar derma ke alamat JAPEM, KKBS, Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, Simpang 336-17, Jalan Kebangsaan, Bandar Seri Begawan, BB4310, Negara Brunei Darussalam.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi ke talian Helpline Kebajikan 141 atau e-mel [email protected]