SMS Brunei prihatin untuk anak yatim dilancarkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Bagi memudahkan orang ramai menghulurkan derma untuk membantu anak yatim di negara ini, SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim telah dilancarkan hari ini di VIP Lounge, Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat di KKBS, Pengiran Siti Rahmah binti Pengiran Haji Salleh.

Majlis turut dihadiri oleh Pengurus Perdagangan, Pengiran Mohd Aliuddin bin Pengiran Haji Ramlee, wakil pemangku pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB); Ketua Pengurusan Bahagian Operasi, Awang Amir bin Pehin Dato Haji Hussin, wakil ketua pegawai eksekutif Datastream Digital Sdn Bhd; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar; Naib Presiden Pengalaman Pelanggan, Irshad Ahamed, wakil ketua pegawai eksekutif imagine Sdn Bhd serta pegawai-pegawai kanan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Jabatan RTB, DST Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd.

SMS Brunei Prihatin merupakan projek tahunan yang diungkayahkan bersama oleh JAPEM, Jabatan RTB, DST Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd. Projek tersebut bermula sejak 2005 dan ia menjadi salah satu kaedah yang berkesan untuk memudahkan orang ramai menghulurkan derma bagi membantu anak yatim di negara ini.

Projek SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim akan berjalan selama tiga bulan bermula 9 April hingga 8 Julai 2021.

Orang ramai yang berhasrat untuk menderma kepada anak-anak yatim melalui SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim bolehlah menaip kata laluan YATIM (tanpa jarak) dan diikuti dengan jumlah yang hendak didermakan (1, 5, 10, 15, 20, 50 atau 100) dan hantar kepada 38111 bagi pelanggan DST dan Progresif atau 39999 bagi pelanggan imagine.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa melancarkan SMS Brunei Prihatin untuk Tabung Anak-anak Yatim, kelmarin.
Antara yang hadir ke majlis pelancaran tersebut.