Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    SMS Brunei Prihatin untuk DANA kutip $262,712

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA), hari ini, menerima sumbangan berjumlah $262,712 hasil kutipan menerusi projek SMS Brunei Prihatin yang berjalan dari 15 Disember 2021 hingga 15 Jun 2022.

    Hasil kutipan berkenaan telah diterima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA), daripada wakil syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam projek itu pada majlis yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

    Projek itu melibatkan tiga buah syarikat telekomunikasi iaitu DST, Syarikat Progresif
    Sdn Bhd dan Syarikat imagine Sdn Bhd yang menyediakan kemudahan membuat sumbangan melalui SMS tanpa caj kepada para pelanggan masing-masing.

    Daripada jumlah tersebut sebanyak $236,780 berjaya dikutip daripada pelanggan DST dan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni.

    Sejumlah $23,044 pula berjaya dikutip daripada pelanggan Syarikat Progresif yang diserahkan oleh Ketua Legal dan Pematuhan, Awang Abdul Hakeem bin Haji Basir.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menerima hasil kutipan daripada DST.
    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menerima sumbangan daripada Progresif.
    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri menerima hasil kutipan SMS Brunei Prihatin daripada imagine.

    Manakala itu, $2,888 pula daripada pelanggan imagine dan disampaikan oleh Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Perkongsian imagine, Awang Radziman bin Haji Abdul Rahman.

    Selain itu, majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada syarikat-syarikat berkenaan yang berjumlah $13,963.30, dengan DST menyumbangkan $10,000 dan Progresif menyampaikan $2,837.30 hasil kutipan daripada orang ramai melalui ta-bung yang disimpan di kaunter-kaunter syarikat.

    Sementara itu, imagine menyampaikan sumbangan berjumlah $1,126 iaitu hasil kutipan daripada Program Amal Jariah A-Dollar-A-Cheer sempena bulan Syawal 1443H.

    Agensi-agensi lain yang turut terlibat dalam menjayakan projek berkenaan ialah Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Masjid yang bertindak sebagai penyalur maklumat kepada orang ramai melalui siaran televisyen dan rangkaian radio, akhbar rasmi kerajaan iaitu Pelita Brunei dan khutbah Jumaat.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku ketua pegawai eksekutif DANA, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai kanan Yayasan, DST, Progresif dan imagine.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...