SMS Brunei Prihatin untuk DANA kutip lebih $200,000

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA), hari ini, menerima sumbangan berjumlah $248,340 hasil kutipan menerusi projek SMS Brunei Prihatin yang berjalan dari 30 November 2020 hingga 31 Mei 2021.

Hasil kutipan berkenaan telah diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA daripada wakil syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam projek itu pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan majlis penerimaan sumbangan berkenaan ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Projek yang berlangsung selama enam bulan itu telah disertai oleh tiga buah syarikat telekomunikasi iaitu Syarikat Datastream Digital (DST), Syarikat Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd yang menyediakan kemudahan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) untuk orang ramai membuat sumbangan kepada DANA tanpa caj.

Agensi-agensi lain yang turut terlibat dalam menjayakan projek berkenaan ialah Jabatan Radio dan Televisyen Brunei, Jabatan Penerangan dan Jabatan Hal Ehwal Masjid yang bertindak sebagai penyalur maklumat kepada orang ramai melalui siaran televisyen dan rangkaian radio selain akhbar rasmi kerajaan iaitu Pelita Brunei dan juga khutbah
Jumaat.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA ketika menerima sumbangan daripada wakil syarikat DST yang terlibat dalam projek SMS Brunei Prihatin pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya
Yang Berhormat Menteri Kesihatan menerima hasil kutipan SMS Brunei Prihatin DANA daripada Progresif yang disampaikan oleh Hajah Nurul Haniah.
Awang Radziman menyampaikan hasil kutipan daripada imagine kepada Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan menerima sumbangan daripada Syarikat Makan Ceria.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak $214,186 dikutip daripada pelanggan DST dan disampaikan oleh Naib Presiden Jualan dan Pemasaran, Hajah Safrina binti Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman.

Manakala itu, sejumlah $33,154 berjaya dikutip daripada pelanggan Progresif dan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar.

Sejumlah $1,000 pula dikutip daripada pelanggan imagine dan disampaikan oleh Naib Presiden Teknologi Maklumat, Awang Radziman Rahman.

Selain itu, DANA juga menerima sumbangan daripada syarikat-syarikat yang keseluruhannya berjumlah $18,241 di mana DST menyumbangkan $10,000 dan Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd menyumbangkan $6,000 yang disampaikan oleh Pengurus Besar, Awang Mohamad Al-Fatah bin Haji Seruji.

Manakala itu, Syarikat MK Fashion Apparel & Souvenir menyampaikan sumbangan sebanyak $2,241 yang merupakan hasil kutipan daripada orang ramai melalui Projek Larian Maya Amal DANA 2021.