Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    SMS Tabung Dana masjid mula dibukakan

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Azlan Othman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) mula dibukakan hingga 20 Disember.

    Pelancaran perkhidmatan SMS itu telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

    Menurut kenyataan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), sehingga bulan Februari 2023 tabung dana tersebut secara keseluruhannya berjaya mengumpulkan sebanyak $29,019,404.24.

    Dari awal penubuhannya, tabung tersebut telah membiayai tiga projek pembinaan, tiga projek pemuliharaan dan satu projek tambahan bangunan dengan jumlah perbelanjaan setakat ini adalah sebanyak $7,640,026.94.

    Oleh yang demikian, jumlah baki kutipan tabung dana yang terkumpul sehingga 28 Februari 2023 adalah sebanyak $21,364,115.64.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa melancarkan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam di KHEU.
    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bergambar ramai pada majlis pelancaran SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam di KHEU.

    Sehubungan dengan itu, orang ramai yang ingin menyumbang ke tabung dana tersebut yang dibukakan dalam tempoh sembilan bulan bolehlah menaip MASJID dengan diikuti 100, 50, 20, 15, 10, 5 atau 1 tanpa jarak dan hantar ke talian 38111 bagi pengguna DST dan Progresif, manakala 39999 bagi pengguna imagine.

    Terdahulu, mengiringi tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Multaqa, Lantai Bawah, Bangunan Tambahan Baru KHEU itu ialah Pengarah Jualan (Pasaran Massa) DST Sdn Bhd, Awang Harpan bin Haji Yusof; Ketua Perhubungan Awam dan Komunikasi, Progresif Sdn Bhd, Dayang Hafiza binti Mohamad; Naib Presiden Jualan dan Pengalaman Pengguna, imagine Sdn Bhd, Awang Irshad Ahamed; serta Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri selaku Ketua Urusetia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; dan Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Penubuhan tabung dana itu dihasratkan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala dengan membina masjid, sekali gus sebagai satu peluang keemasan untuk bertanam saham di akhirat.

    Dalam pada itu juga, beberapa projek pembinaan dan tambahan bangunan telah pun dirancang dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

    Majlis pelancaran perkhidmatan SMS tersebut diserikan dengan tayangan video klip Promo Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan acara penghantaran sumbangan melalui SMS beramai-ramai oleh para hadirin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Amaran ribut hujan tertinggi dikeluarkan

    BEIJING, 23 APRIL - Lebih 100,000 orang telah dipindahkan akibat hujan lebat dan banjir yang membawa maut di selatan China, dengan kerajaan mengeluarkan amaran...