SMSA adakan Hari Orientasi Pra-U1

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 25 FEB – Sebagai sebahagian daripada acara tahunan bagi mengalu-alukan pengambilan pelajar-pelajar baharu menengah enam untuk membiasakan mereka dengan persekitaran sekolah, Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) mengadakan Hari Orientasi Pra-U1 bagi pengambilan 2020/2021 yang berjalan selama tiga hari bermula hari ini.

Hari pertama orientasi menyaksikan kehadiran seramai 143 orang pelajar baharu menengah enam bawah dari seluruh Daerah Belait bersama ibu bapa dan penjaga mereka.

Hadir mengalu-alukan para pelajar ialah Pengetua SMSA, Steven Shim Sheau Huei serta Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMSA, Awang Nordin bin Haji Zainal, ahli-ahli jawatankuasa eksekutif serta kakitangan dan guru-guru sekolah berkenaan.

Pada majlis berkenaan, para pelajar baharu serta ibu bapa dan penjaga telah mendengar pelbagai taklimat ringkas mengenai topik-topik yang berkaitan dengan hal ehwal sekolah termasuk hal ehwal pelajar dan disiplin, kesejahteraan pelajar, aktiviti kokurikulum dan beberapa perkara lainnya.

Selain itu, bagi merasmikan permulaan memasuki sekolah berkenaan, para pelajar membaca ikrar sekolah dalam menegakkan visi ‘Berusaha ke arah kecemerlangan’.

Kemudian, para pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melawat pelbagai kawasan dan kemudahan yang terdapat di sekolah berkenaan.

Para pelajar ketika melafazkan ikrar sebelum memulakan sesi orientasi yang akan diadakan selama tiga hari.
Sebahagian pelajar dan penjaga mereka ketika membuat pendaftaran kemasukan pengajian bagi sesi 2020/2021.