SMSA hulur sumbangan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 10 APRIL – Dalam membantu usaha menangani wabak COVID-19 di negara ini, kakitangan Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) bersama ibu bapa dan penjaga daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMSA telah menyampaikan sumbangan kepada Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait, baru-baru.

Sumbangan berupa keperluan asas yang dikumpulkan atas usaha bersama oleh sekolah berkenaan serta ibu bapa dan penjaga itu telah diserahkan oleh kumpulan yang diketuai oleh Pengurus Operasi Kanan SMSA, Haji Jaafar bin Ahmad bersama Pengerusi PIBG, Awang Nordin bin Haji Zainal.

Dengan penyerahan sumbangan berkenaan, PIBG SMSA menyatakan bahawa ia merupakan salah satu daripada pelbagai fasa bantuan yang mereka berikan dalam membendung virus berkenaan.

Fasa kedua usaha berkenaan adalah kunjungan ke hospital di Daerah Tutong yang dijadualkan pada 16 April depan.

Kumpulan-kumpulan atau agensi yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu hospital terutamanya di Daerah Belait dalam membendung virus berkenaan boleh menghubungi talian 3335331 untuk mendapatkan maklumat mengenai pelbagai keperluan yang diperlukan hospital berkenaan.

Kumpulan dari SMSA menyampaikan sumbangan kepada Hospital SSB. – Gambar serahan SMSA