SMSA lantik ahli PIBG 2020-2022

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 9 MAC – Usaha yang dilakukan oleh ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) sepanjang tahun lalu telah diiktiraf dalam Majlis Pembubaran Ahli PIBG 2017-2019 dan Pelantikan Ahli 2020-2022, baru-baru ini.

Hadir semasa majlis yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan ialah Pengetua SMSA, Steven Shim Sheau Huei yang mengambil kesempatan menyampaikan penghargaannya kepada ahli-ahli PIBG atas sumbangan dan pencapaian yang dicatatkan sekolah dari 2017 hingga 2019.

Beliau juga menekankan bahawa budaya kolaborasi dan kerjasama antara sekolah, pelajar dan ahli-ahli PIBG adalah resipi yang boleh membawa kepada pertumbuhan pemikiran positif.

Pengerusi PIBG SMSA, Awang Nordin bin Haji Zainal dalam ucapannya telah mengongsikan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tiga tahun berkenaan dan meluahkan penghargaannya kepada ahli-ahli atas usaha mereka yang membantu membuka jalan bagi ahli-ahli baharu membangunkan lagi sekolah berkenaan demi pelajar.

Majlis turut mendengarkan taklimat oleh bekas bendahari sebelum penyampaian sijil kepada ahli-ahli PIBG 2017-2019.

Kemudian, majlis diteruskan dengan pelantikan ahli-ahli bagi sesi 2020-2022 dengan
undian dibuat oleh guru-guru serta ibu bapa dan penjaga yang hadir.

Ahli-ahli baharu termasuk Awang Nordin yang mengekalkan jawatannya sebagai pengerusi, Dayang Erna Sumarne binti Haji Sumardi selaku setiausaha, Agus Dida selaku pembantu setiausaha, Hartini Ahmad Jawawi selaku bendahari dan Syazwani Iskandar selaku pembantu bendahari.

Di samping itu, sembilan orang ahli yang terdiri daripada ibu bapa dan penjaga secara sukarela memberikan masa dan usaha mereka dalam jawatankuasa eksekutif persatuan, membawa jumlah ahli kepada 17 orang dengan pengetua bertindak sebagai penasihat dan Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Sharifah Raihani binti Haji Wan Ali sebagai juruaudit.

Gambar ramai ahli-ahli PIBG yang baru dilantik pada penghujung majlis.