SMSA, PTES ke peringkat akhir bahas

Oleh Sim Y. H.
Gambar Serahan Suruhanjaya Tinggi British

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Pasukan Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) dan Pasukan Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) layak untuk beraksi di Peringkat Akhir Pertandingan Bahas, The Great Discussion yang akan berlangsung d Dewan Raya RTB, pada 30 Januari nanti.

Kedua-dua pasukan berkenaan layak ke peringkat akhir setelah berjaya menonjolkan hujah-hujah yang menarik semasa pusingan separuh akhir pertandingan, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, di sini, hari ini, tiga pasukan bertanding di pusingan separuh akhir iaitu Pasukan PTES, Pasukan PTE Tutong dan SMSA.

Pasukan-pasukan berkenaan membincangkan tajuk-tajuk yang meliputi pemanasan global disebabkan oleh perubahan iklim sebagai ancaman yang terbesar dalam sejarah manusia, negara-negara maju harus memberikan bantuan yang lebih banyak kepada negara-negara membangun bagi menangani perubahan iklim serta perkembangan teknologi akan menangani karbon dioksida dan membolehkan kita untuk terus menggunakan sumber bahan minyak fosil.

Kenyataan menyatakan bahawa bagi pusingan separuh akhir berkenaan, panel hakim terdiri daripada Awang Muhammad Aziman bin Haji Awang Nasir daripada Majlis Wawasan 2035, Dayang Noor Dina Zharina binti Haji Yahya daripada Sekretariat Perubahan Iklim dan Awang Irwan bin Haji Abdul Rahman dari Jabatan Pendidikan Kokurikulum.

The Great Discussion membawa tema ‘Perubahan Iklim’ yang diselaraskan dengan aspirasi Brunei ke arah hala tujuan iklim berdaya tahan dan rendah karbon. Ia juga amat bertepatan dengan United Kingdom akan menjadi hos kepada pemimpin-pemimpin dunia di Glasgow pada November 2020 bagi CAP26 di mana mereka perlu mencapai persetujuan mengenai bagaimana untuk menangani masalah pemanasan global.

Pasukan PTES yang layak ke Peringkat Akhir Pertandingan Bahas, The Great Discussion yang akan berlangsung d Dewan Raya RTB, pada 30 Januari nanti.
Ahli-ahli Pasukan SMSA yang layak ke peringkat akhir.