SMSA semarak Aidiladha

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 4 OGOS – Sebagai sebahagian daripada acara sambutan Hari Raya Aidiladha, Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) sekolah itu telah menganjurkan majlis ibadah korban dan pengagihan daging-daging korban pada petang hari ini.

Hadir pada acara berkenaan adalah Timbalan Pengetua SMSA, Hajah Mazizan binti Haji Mohammad dan pengerusi PIBG, Awang Nordin bin Haji Zainal.

Acara bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti oleh laungan Takbir dan bacaan Doa Selamat, yang masing-masing dipimpin oleh Awang Syaeful Fahri bin Haji Sukri dan Awang Sherfini bin Haji Senin.

Empat ekor lembu dikorbankan pada tahun ini, dengan daging-daging korban diagihkan ke tiga kawasan berlainan yang dijalankan secara pandu lalu di perkarangan sekolah sejajar dengan garis pandu yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, termasuk mematuhi penjarakan sosial.

Daging korban diagihkan kepada para penerima yang terdiri daripada 34 pelajar yatim piatu di sekolah serta 49 pelajar di bawah Skim Miftah An-Najjah dan juga beberapa kakitangan yang disempurnakan oleh Timbalan Pengetua SMSA dan pengerusi PIBG.

Pihak sekolah berharap acara sedemikian akan membantu menyemarakkan lagi sambutan
Hari Raya Aidiladha sementara mengurangkan bebanan pelajar sekolah yang kurang bernasib baik dan keluarga mereka.

Hajah Mazizan menyempurnakan pengagihan daging korban kepada penerima.
Hajah Mazizan menyerahkan agihan daging korban kepada salah seorang penerima semasa acara pengagihan secara pandu lalu.