SMSB rai pelajar cemerlang

TUTONG, 4 MAC – Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB), hari ini, telah meraikan pelajar-pelajar cemerlang 2019 dalam Majlis Penyampaian Anugerah Akademik Pelajar Cemerlang BC GCE ‘O’ Level / IGCSE dan SPA 2019 yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Daerah Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain. Majlis menyaksikan seramai 23 orang pelajar menerima anugerah Pelajar Cemerlang Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level / IGCSE, manakala itu, 13 pelajar menerima Anugerah Terbaik Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level / IGCSE dengan lima daripadanya memperoleh lapan ‘O’ Level dan lapan lagi memperoleh tujuh ‘O’ Level.

Selain itu, majlis juga menyaksikan penyampaian Hadiah Galakan Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level / IGCSE bagi Kategori Mifthahuun Najaah dan Anak Yatim, penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Penilaian Kemajuan Pelajar (SPA) Tahun 8 2019, dan penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan dalam Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level / IGCSE.

Pengetua SMSB, Goh Siah Ching dalam ucapan alu-aluannya menyatakan harapan agar para penerima hadiah akan terus berusaha mempertingkatkan pencapaian akademik masing-masing dan memperbaiki kemampuan diri dari semasa ke semasa untuk meraih kejayaan yang lebih tinggi lagi untuk persediaan ke pembelajaran ke institusi pengajian tinggi dan ke alam pekerjaan nanti.

Sementara itu, tetamu kehormat dalam ucapannya antara lain menyentuh mengenai peranan pendidikan yang telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya.

“Para pelajar bukan sahaja datang ke sini untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Perkara ini selaras dengan salah satu tiga matlamat utama Wawasan Brunei 2035 iaitu melahirkan rakyat yang berilmu dan berkemahiran. Dalam konteks ini, kita perlu melahirkan para pelajar yang cemerlang dan kompeten iaitu mencapai standard kualiti untuk merealisasikan aspirasi dan agenda negara,” jelasnya.

Beliau menyatakan kepercayaan bahawa pelbagai usaha telah, sedang dan akan dilakukan untuk menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad 21.

Pegawai Daerah Tutong juga berpendapat bahawa pengasuhan, bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek kehidupan dari peringkat awal lagi adalah sangat penting.

“Pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai, bahkan pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga adalah perlu diberi perhatian yang sama berat,” jelasnya lagi.

Awang Shamsul Bahrin menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang.