Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    SMSH johan Pertandingan E-Pembentangan Sukan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Kumpulan Sekolah Menengah Sultan Hassan (SMSH), Temburong muncul johan dalam Pertandingan E-Pembentangan Sukan Sekolah-sekolah Menengah Negara Brunei Darussalam 2022 dengan majlis penyampaian hadiah berlangsung di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang serta cenderahati ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) di KKBS, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

    Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Julaihi bin Mohamad@Mohamat dalam teks ucapan alu-aluannya yang dibacakan oleh Ketua Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Sukardi bin Kaderi menyatakan, pertandingan itu dianjurkan oleh Bahagian Jasmani dan Rekreasi, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dengan kerjasama Jawatankuasa Anti-Doping Brunei Darussalam (BDADC), KKBS yang menyasarkan penyertaan kepada pelajar sekolah menengah dan maktab serta pusat tingkatan enam di seluruh negara.

    Pertandingan yang membawa tema ‘Impak Doping dalam Sukan’ itu bertujuan sebagai landasan untuk para pelajar mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam kurikulum sekolah untuk diintegrasikan kepada aktiviti kokurikulum.

    Ia juga bermatlamat untuk meningkatkan keberkesanan dan kesediaan pelajar dalam mengintegrasikan serta mengadaptasikan revolusi industri 4.0 dalam bidang komunikasi atau penyampaian maklumat serta menyediakan sumber rujukan pemberigaan maklumat khususnya berkenaan anti-doping secara digital.

    Beliau menerangkan bahawa setiap penyertaan bagi pertandingan berkenaan dinilai daripada lapan aspek iaitu kemahiran persembahan lisan, kesan audio dan video, analisis subjek atau topik, organisasi kandungan dan elemen rekaan, keaslian, sumber, grafik dan latar belakang persembahan video secara keseluruhan.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang yang disempurnakan oleh Pengiran Mohd Amirrizal.

    Kumpulan SMSH yang dianggotai Dayang Nur Izz Farahiyah Hasna’ binti Jeludin, Lim Wen Long @ William dan Dayang Syifaa Wajihah binti Abdul Aziz muncul sebagai johan.

    Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah yang dianggotai oleh Dayang Haziqah Izzati binti Haji Mohd Hairolrizam, Dawniel Febrian Simanjuntak dan Dayang Mu’ezzah Zawanah binti Aji manakala itu, kumpulan Sekolah Menengah Menglait yang dianggotai oleh Awang Muhammad Fatthurrahman bin Mohammad Kheairul Azmi, Awang Muhammad Adli Syafie’ bin Rosli dan Dayang Nur Imanina Danisha binti Mohammad Azme di tempat ketiga.

    Seramai 27 orang peserta iaitu sembilan buah kumpulan dari tujuh buah sekolah telah menyertai pertandingan yang telah dibukakan kepada para pelajar sekolah menengah kerajaan dan swasta di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Pengiran Mohd Amirrizal bergambar-ramai dengan pemenang tempat ketiga, Kumpulan Sekolah Menengah Menglait.
    Pengiran Mohd Amirrizal bergambar-ramai dengan pemenang tempat kedua, Kumpulan Maktab Duli.
    Pengiran Mohd Amirrizal bergambar ramai bersama johan pertandingan, Kumpulan SMSH, Temburong.
    Awang Sukardi membacakan teks kata alu-aluan Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...