Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Dua pelajar Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Awang Muhd Amirul Husaini bin Moksin dan Dayang Nur Tajwiida Insyirah binti Haji Isa telah mengungguli Pertandingan Akhir Tilawah Al-Quran antara Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara kali ke-33 apabila masing-masing muncul juara qari dan qariah.
Dalam pertandingan yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan pagi tadi, naib johan qari disandang oleh Awang Mohd Firdaus bin Sait dari Sekolah Agama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan tempat ketiga pula dimenangi pelajar Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri iaitu Awang Mohd Helmi Fahziq bin Hoseni.
Naib johan bagi peserta qariah pula ialah Dayang Seri Syazwani binti Haji Rosman dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah dan tempat ketiga ialah Dayang Saizatul Natasha binti Saipol Rizal dari Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.
Juga hadir ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah serta jemputan-jemputan khas yang lain.
Pengetua Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Dayang Haryani binti Haji Mohammad selaku pengerusi bersama pertandingan itu dalam ucapannya menjelaskan bahawa pertandingan berkenaan telah disertai peserta dari 28 buah sekolah menengah dan maktab dan seramai 10 orang peserta yang terdiri daripada lima orang qari dan lima orang qariah telah berjaya untuk memasuki pusingan akhir.
Pertandingan berkenann, jelasnya, bertujuan untuk menyahut hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kalangan para pelajar agar mereka mempelajari, membaca dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan mereka seharian.
Pertandingan itu diharap dapat membantu pelajar dalam memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu pembacaan Al-Quran ke arah yang lebih sempurna dan diharap mereka akan dapat menghayati tafsiran dan pengajaran yang terkandung dalam Al-Quran untuk dijadikan sebagai rujukan yang paling tepat dalam menangani dan menghadapi cabaran-cabaran kehidupan.
Pada tahun ini, pertandingan akhir telah dianjurkan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Rohani.