Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    SMSIS rai pencapaian pelajar bagi 2022

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Bagi menghargai usaha gigih pelajar-pelajar pada tahun ini, Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS) telah mengadakan Majlis Graduasi ke-24 yang berlangsung di salah sebuah hotel di Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada pelajar ialah Timbalan Ketua Misi Kedutaan Republik Indonesia, Irwan Iding.

    Pengetua SMSIS, Chong Wee Meng dalam ucapannya berkata, pembelajaran secara bersemuka pada tahun ini berjalan dengan lancar di mana pelajar juga berpeluang menyertai pelbagai pertandingan antaranya The Queen Commonwealth Essay, International Mathematic dan lainnya.

    Menurutnya, pembelajaran dari rumah juga telah menyaksikan pasukan akademik dengan cepat meningkatkan kemahiran literasi digital dan pedagogi abad ke-21 melalui pelbagai pembangunan profesional untuk memenuhi permintaan pembelajaran digital.

    Ke arah itu, pihak sekolah juga telah mengambil langkah ke hadapan dengan melancarkan Unit Pembelajaran Digital (DLU) SMSIS pada September lalu.

    ATAS & BAWAH: Irwan Iding menyampaikan sijil dan hadiah kepada para pelajar SMSIS yang diraikan pada Majlis Graduasi ke-24 di sebuah hotel di Gadong.

    Pelajar yang diraikan menunjukkan sijil yang diterima pada majlis tersebut.
    Pelajar Tahun 6 menanti giliran untuk menerima sijil mereka.
    Pelajar cilik Sekolah Antarabangsa Seri Mulia Sarjana (SMSIS) semasa mengadakan persembahan bertenaga dan berwarna-warni sempena Majlis Graduasi ke-24 di salah sebuah hotel di Gadong, kelmarin. Pada majlis itu, para pelajar taman asuhan dan Tahun 6 telah menerima sijil masing-masing. – Gambar oleh Salawati Haji Yahya

    Beliau menambah, tahun depan akan menjadi tahun penting bagi SMSIS kerana akan meraikan 25 tahun kejayaan.

    “Kami menyedari bahawa sistem pendidikan telah berubah, gaya pembelajaran telah berubah di mana teknologi kini telah mengambil peranan yang besar dalam semua peringkat kehidupan dan adalah penting untuk pelajar memanfaatkan semua potensi literasi digital di sekolah,” jelasnya.

    Selain penyampaian sijil kepada pelajar taman asuhan dan pelajar Tahun 6 sekolah berkenaan, majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Mata Pelajaran Terbaik dan Anugerah Antarabangsa.

    Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan beberapa persembahan pentas yang berwarna-warni oleh pelajar-pelajar sekolah berkenaan.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sarjana, Dr Mary Lim; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pendidikan Sarjana, Leonard Lim; Pegawai Zon dari Jabatan Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, Dayangku Norashikin binti Pengiran Haji Kamaruddin, dan Ahli Lembaga Pengelola, Dayang Norlinda Dee binti Haji Mohd Taib.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...