SMSSA rai 161 pelajar

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 161 orang pelajar Tahun 10XP dan Tahun 11 Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali (SMSSA) diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran ke-7 setelah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran 30 juzuk.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Salambigar, Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali itu ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Brunei dan Muara, Haji Abdul Aziz bin Haji Mohammad Yassin.

Majlis merupakan aktiviti tahunan sekolah yang menjadikan Al-Quran sebagai landasan dalam proses pengajian dan kehidupan lebih-lebih lagi bagi merealisasikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ingin menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Zikir.

Antara tujuan majlis berkenaan adalah untuk menyemai sifat cintakan membaca ayat-ayat Al-Quran sebagai suluh kehidupan dalam diri penuntut selain menarik minat mereka untuk membaca dan mengkhatamkan Al-Quran.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas diikuti bacaan ayat-ayat lazim bermula dari Surah Ad-Duha sehingga Surah Al-Masad oleh peserta khatam.

Tetamu khas majlis seterusnya menyampaikan sijil-sijil khatam kepada para peserta.

Para pelajar yang diraikan membaca ayat-ayat lazim pada majlis berkenaan. – Gambar oleh SMSSA