SMSUA rai pelajar cemerlang 2020

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Lebih 50 orang pelajar cemerlang Sekolah Menengah Sayyidina Umar Al-Khattab (SMSUA) telah diraikan pada majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang BC GCE O’Level dan IGCSE 2020 yang berlangsung di dewan serba guna sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pelajar yang diraikan ialah Pemangku Penghulu Mukim Lumapas, Haji Suhaili bin Haji Moktar.

Pengetua SMSUA, Dayang Sinasuria binti Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan bahawa 2020 menempah satu lagi sejarah bagi sekolah berkenaan di mana 36.8 peratus pelajar yang menduduki

Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level 2020 telah berjaya memperolehi lima kredit dan ke atas.

Majlis menyaksikan penyampaian hadiah cemerlang kepada seramai 53 orang pelajar yang memperolehi 5 O Level dan ke atas, 13 orang pelajar cemerlang berjaya memperolehi kepujian A* dan 50 orang pelajar cemerlang lagi berjaya memperolehi kepujian A2 dalam beberapa mata pelajaran.

Dayang Sinasuria turut menzahirkan perasaan bangga dan terujanya melihat kejayaan 10 orang pelajar cemerlang yang merupakan pelajar Skim Miftahun An-Najaah.

Anugerah Pelajar Cemerlang berkenaan diadakan untuk mengiktiraf serta memberi penghargaan kepada penuntut yang telah membuktikan kecemerlangan dalam peperiksaan BC GCE ‘O’ Level pada 2020.

Tetamu kehormat majlis menyampaikan hadiah dan sijil kepada salah seorang pelajar yang diraikan
Antara pelajar yang diraikan pada majlis berkenaan, kelmarin.