SMTrack rancang teroka industri penerbangan

KUALA LUMPUR, 14 April – SMTrack Bhd, penyedia penyelesaian identifikasi menerusi frekuensi radio (RFID), merancang untuk meneroka perniagaan penerbangan tambang rendah.

Pada Sabtu, ia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dexma Express Sdn Bhd, ejen jualan am rasmi bagi anak syarikat Garuda Indonesia, Citilink, untuk pelaburan berpotensi bagi operasi Citilink Malaysia yang akan datang.

SMTrack bercadang untuk membeli 60 peratus kepentingan dalam Citilink pada RM2.8 juta. Dexma akan menukar namanya kepada Citilink Aviation Malaysia Sdn Bhd dan mendapatkan sijil pengendali udara dan lesen atau permit lain yang diperlukan, kata wakil SMTrack, Jay Hoo Ying Wah kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu.

Selain itu, perjanjian penjualan saham pula dijangka dimuktamadkan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pemeteraian MoU tersebut.

Hoo berkata, Citilink Aviation dijangka memulakan operasi pada suku kedua 2019 dengan menyediakan penerbangan tambang rendah khususnya kepada pelanggan yang terbang dalam rantau ASEAN.

“Laluan pertama kami akan dari Kuala Lumpur ke Phnom Penh, Kemboja selain di luar ASEAN, kami menyasarkan China,” katanya. – Bernama