LOS ANGELES – Kehadiran filem Smurfs: The Lost Village, sebuah filem animasi keluaran yang menampilkan karakter animasi berwarna biru pada minggu ini ternyata menerima sambutan yang cukup hambar apabila hanya berjaya mengumpulkan kutipan serendah AS$14.1 juta.
Kegagalan Smurfs: The Lost Village itu secara tidak langsung telah memberikan laluan kepada The Boss Baby keluaran Dreamworks Animation untuk mempertahankan takhta kejuaraan apabila berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$26.3 juta.
Jumlah tersebut secara tidak langsung telah menjadikan kutipan keseluruhan yang berjaya dikumpulkan oleh filem animasi komedi tersebut ialah AS$89.4 juta dalam tempoh dua minggu ia ditayangkan.
Manakala Beauty and the Beast keluaran Disney pula menduduki tangga kedua setelah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$25 juta sekaligus menjadikan kutipan keseluruhan yang berjaya dikumpulkan oleh filem tersebut setinggi AS$432 juta.
Kutipan sebanyak AS$14.1 juta yang diperoleh daripada tayangan filem Smurfs: The Lost Village telah meletakkannya di kedudukan tangga ketiga dalam carta Box Office.



Pada awalnya filem ini diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan yang diraih terhadap dua sekuel terdahulu iaitu The Smurfs dengan kutipan sebanyak AS$563.7 juta dan The Smurfs 2 yang berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$347.5 juta.
“Sony seharusnya menunggu tempoh dalam beberapa minggu akan datang sebelum membuat keputusan untuk menayangkan filem ini kerana saingan jelas masih berada pada tahap hebat pada masa ini dan bagi sebuah filem animasi yang hanya berjaya menerima kutipan serendah AS$14 juta boleh dianggap sebagai satu kegagalan,” jelas Penganalisa di Exhibitor Relations, Jeff Bock.
Tambahan lagi, The Fate of Furious yang merupakan sebuah filem aksi keluaran Universal yang membariskan bintang terkemuka seperti Vin Diesel, Dwayne Johnson dan Charlize Theron dijangka bakal memberikan saingan yang cukup hebat apabila ia bakal ditayangkan tidak lama lagi.
“Setentunya kehadiran filem The Fate of Furious bakal memberikan saingan hebat kepada filem-filem lain,” jelas Penganalisis Media Kanan di ComScore, Paul Dergarabedian.
Going In Style, sebuah filem terbaru dari New Line dan Village Roadshow pula menduduki tangga keempat dengan jumlah kutipan sebanyak AS$12.5 juta.
Filem komedi tersebut mengisahkan mengenai tiga orang pesara yang membuat keputusan untuk melakukan rompakan bank yang dibintangi oleh Morgan Freeman, Alan Arkin dan Michael Caine.


Sebanyak AS$24 juta telah dilaburkan untuk merealisasikan filem tersebut dan 72 peratus daripada penonton yang memilih filem tersebut adalah terdiri daripada golongan individu yang berusia 50 tahun ke atas.
“Ternyata keserasian di antara tiga pelakon itu jelas cukup menonjol malah aksi komedi yang mereka lakonkan juga sangat mencuit hati para penonton,” jelas Ketua Pengedar Domestik di Warner Bros, Jeff Goldstein.
Sementara Ghost in the Shell keluaran Paramount pula menduduki tangga kelima dengan jumlah kutipan sebanyak AS$7.3 juta.
Setakat ini, filem lakonan Scarlett Johansson yang diadaptasi daripada komik popular Jepun itu telah berjaya mengumpulkan kutipan sebanyak AS$31.6 juta dan usaha wajar dipertingkatkan bagi mengembalikan kos pembikinan setinggi AS$110 juta yang telah dilaburkan.
Selain itu, antara filem terbaru yang ditayangkan pada minggu ini adalah Their Finest keluaran STX dan Colossal keluaran Neon.
Secara keseluruhan, jualan tiket meningkat sebanyak 15 peratus berbanding pada tahun lalu sewaktu filem The Boss ditayangkan. Hasil keuntungan tersebut setentunya diperoleh daripada hasil tayangan filem Beauty and the Beast dan Logan.