SNLP galak guru, kakitangan dampingi Al-Quran

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Sekolah Nusa Laila Puteri (SNLP) cawangan Sungai Buloh, hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran kali ke-7 bagi guru-guru sekolah tersebut.

Majlis yang diadakan di sekolah berkenaan juga diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah serta penyerahan derma anak yatim kepada salah seorang murid sekolah berkenaan yang ayahnya telah kembali ke rahmatullah pada 22 Ogos lalu.

Hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada anak yatim tersebut ialah Ketua Operasi SNLP, Pengiran Haji Amir Khalid Abdulaziz bin Pengiran Dr Haji Amir Mohd Yussof.

Seramai 18 orang peserta Program Pembudayaan Al-Quran (PPAQ) yang terdiri daripada guru-guru dan kakitangan SNLP cawangan Sungai Buloh telah menyertai majlis khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Guru Al-Quran dan Bahasa Arab SNLP, Haji Abdul Latif bin Qasim.

Program itu merupakan aktiviti tambahan yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan bagi guru-guru dan murid-murid di sekolah termasuklah sekolah swasta.

Di samping itu, aktiviti tersebut juga merupakan program tahunan SNLP yang bertujuan untuk menggalakkan guru-guru dan kakitangan sekolah supaya sentiasa mendampingi Al-Quran dan membaca dengan baik serta lancar.

Pengiran Haji Amir Khalid Abdulaziz ketika menghadiri Majlis Khatam Al-Quran kali ke-7 SNLP, kelmarin. – Gambar serahan SNLP