Soalan ujian lebih wajar

Untuk mendapatkan peluang temu duga agak sukar jika memohon sebarang jawatan kosong dalam sektor kerajaan. Berpuluh-puluh jawatan yang diduduki ujian bertulis, namun hasilnya tetap dengan jawapan yang sama ‘tidak berjaya setelah menjalani ujian’.

Sampai bila kami yang belum bernasib baik ini mendapatkan khabar yang serupa? Kami sudah berusaha dan berikhtiar mencari bahan bacaan untuk bekalan kami ketika ujian. Namun semuanya menghampakan dan ibarat membuang masa kami mengulang kaji saja kerana setiap soalan yang diberikan tidak ada yang berkaitan dengan pembacaan kami.

Malah apa yang saya alami sendiri dan mungkin sesetengah orang lain turut mengalaminya, soalan ujian sepertinya tidak selaras dengan kedudukan kami sebagai penganggur atau yang belum pernah bertugas di sektor kerajaan. Hal ini kerana, terdapat soalan yang diberikan ibarat orang yang sudah pernah menjawat jawatan tersebut seperti tugas-tugas mendalam dalam sesebuah jawatan tersebut.

Apa tahu kami secara mendalam tentang jawatan tersebut? Siapa yang dapat kami jadikan rujukan untuk bertanya tentang jawatan tersebut? Saya pernah menghubungi salah sebuah kementerian untuk bertanya perincian jawatan tetapi jawapan yang saya dapat, ‘kami tidak dapat mengongsikan’, ‘jawapan ada di dalam laman sesawang kementerian’ dan berbagai-bagai lagi jawapan diberikan.

Saya tahu dan faham soalan-soalan diberikan itu bertujuan menguji kemampuan dan kefahaman pemohon. Tapi biarlah mengeluarkan soalan ujian yang wajar secara logiknya boleh dijawab oleh kami sebagai pemohon yang cuba menceburkan diri dalam sektor kerajaan.

Ini sesuatu benda yang baharu saja kami ketahui, justeru bagaimana cara kami untuk menjawab dengan betul? Kami terpaksa memberikan jawapan secara beragak-agak saja dan akhirnya kami tetap gagal menjalani ujian. Di harap pihak tertentu mengambil maklum perkara ini.

Nasib penganggur