Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD), hari ini, telah memberikan penghargaan kepada syarikat-syarikat yang menjayakan usaha SOBD dalam meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa golongan istimewa juga mampu melakukan kerja seperti golongan normal.
Pada majlis yang berlangsung di The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL), Jalan Gadong, Pengerusi SOBD, Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut telah menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil tiga buah syarikat yang memberi sokongan terhadap usaha SOBD.
Program SOBD berkenaan melibatkan lima orang warga istimewa, termasuk tiga atlet dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, menjalani latihan dan bekerja di CBTL. Manakala itu, dua lagi bekerja di Buffalo Steak House dan PKS Sdn Bhd yang mendedahkan mereka kepada persekitaran pekerjaan sekali gus membolehkan orang ramai melihat dan meningkatkan kesedaran yang golongan ini juga mampu untuk melaksanakan pekerjaan.
Dengan adanya projek ini dapat menyakinkan orang ramai bahawa orang kurang upaya intelektual boleh menyumbang di tempat kerja seperti yang ditunjukkan oleh atlet SOBD dan mereka ini juga telah mencapai kejayaan serta pernah mewakili Brunei dalam sukan di peringkat antarabangsa, serantau dan kebangsaan.
