KAZAN, 20 Jun – Kapten Australia, Mile Jedinak menegaskan bahawa skuad negaranya tidak boleh hanya memberi tumpuan kepada pemain perancang Christian Eriksen apabila berdepan Denmark, dalam usaha memburu kemenangan untuk meneruskan kempen pada Piala Dunia Rusia.
Kekalahan 2-1 kepada Perancis pada perlawanan pembukaan Kumpulan C mendesak Socceroo untuk memburu kemenangan pada malam Khamis ini, sekiranya mahu layak ke pusingan kalah mati.
Pemain tengah Tottenham Hotspur, Eriksen yang meledakkan 11 gol untuk Denmark sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia, adalah tonggak penting skuad kendalian Aege Hareide di Arena Samara.
Namun Jedinak, yang menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Perancis berkata, persembahan lebih berdisiplin juga penting buat Australia.
“Kami sedar dia (Eriksen) pemain hebat dan memang jelas memainkan peranan penting untuk mereka,” kata Jedinak.
“Tetapi kami tidak akan cuba memberi tumpuan terhadapnya sahaja. Kami akan fokus kepada mereka sebagai sebuah pasukan dan secara menyeluruh. Kami juga perlu memikirkan mengenai prestasi sendiri, bagaimana untuk menggunakan corak permainan kami ke atas mereka.”
Corak bertahan mantap Australia ketika menentang Perancis mendapat pujian tetapi anak buah Bert van Marwijk masih belum selamat.
Berbekalkan kelebihan psikologi hasil kemenangan 1-0 ke atas Peru pada perlawanan pembukaan, yang mana penjaga gol Kasper Schmeichel beraksi cemerlang dengan menafikan siri percubaan pasukan Amerika Selatan itu, Denmark mampu tampil lebih selesa dengan strategi mereka.
Sebaliknya Australia kurang mengancam ketika menyerang berdepan Perancis, dengan satu-satunya peluang hadir menerusi tandukan pada awal permainan tetapi diselamatkan penjaga gol Hugo Lloris. – AFP