Sofiana rindu berlakon

Oleh Imelda Groves HA

PELAKON tempatan, Sofiana Hulubalang Diraja Haji Abdul Rahman, 43, yang sering muncul di kaca-kaca TV tempatan melahirkan rasa rindunya untuk kembali berlakon namun belum terdapat tawaran sejak kali terakhir berlakon beberapa tahun yang lalu. Beliau yang kini menyedari kepentingan pemakanan sihat telah pun bersedia untuk beraksi kembali setelah disahkan koma pada bulan Oktober tahun 2017 yang lalu.

Sejak penampilan terakhir beliau dua tahun yang lalu, beliau berkata bahawa beliau bersedia untuk beraksi kembali apabila beliau telahpun kembali pulih sepenuhnya dan kini mengawal dan mengamalkan cara hidup sihat agar dapat sentiasa aktif.

“Pada bulan September 2017, saya telah terkena jangkitan ‘carbuncle’ atau karbunkel, tetapi tidak bernanah namun terasa sakit. Jadi saya melakukan pemeriksaan selepas sebulan parut luka semakin parah. Saya mengaku cuai kerana tidak mengawal pengambilan gula dan ini menyebabkan saya terkena jangkitan kuman,” jelasnya ketika menceritakan pengalaman ngerinya itu.

Beliau telah pun aktif berlakon dalam drama-drama tv tempatan sejak tahun 1994 dan tahun ini, beliau bersedia untuk menerima tawaran dari mana-mana produksi TV dan berusaha untuk terus menghiburkan peminat dan penonton dengan lakonan beliau.

Sofiana melahirkan rasa rindunya untuk berlakon kembali namun belum terdapat tawaran sejak kali terakhir berlakon beberapa tahun yang lalu.