Softbank Bantu Bangunkan Ibu Negara Baharu Indonesia

JAKARTA, 17 JAN – SoftBank dari Jepun menawarkan untuk melabur sebanyak AS$30 bi-lion hingga AS$40 bilion dalam pembangunan ibu negara Indonesia, kata seorang pegawai hari ini.

Pengasas dan ketua eksekutif SoftBank Group Corp, Masayoshi Son, mengisyaratkan kerjasama dengan kerajaan Indonesia untuk memberikan dana bagi projek tersebut ketika bertemu dengan Presiden Joko Widodo pada minggu lepas di Jakarta.

Son dan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair telah disenaraikan dalam jawatan kuasa pemandu untuk menyelia pembinaan ibu negara baharu di pulau Borneo yang akan dipimpin oleh Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Pandjaitan menjelaskan dalam taklimat berita bahawa SoftBank menawarkan kira-kira AS$30 bilion hingga AS$40 bilion, walaupun masih tidak jelas projek khusus yang akan dilabur oleh konglomerat dari Jepun.

“Kami belum memutuskan bagaimana mereka melakukan pelaburan, ia mungkin untuk pendidikan, sebuah pusat penyelidikan atau pun pembangunan hospital,” kata Pandjaitan. Beliau menjelaskan beliau akan bertemu dengan Son di Davos dan Tokyo akhir bulan ini untuk memuktamadkan rancangan itu.

Selepas bertemu Widodo pada minggu lepas, Son memberitahu wartawan bahawa beliau berminat untuk menyokong pembangunan ‘sebuah bandar pintar baharu, teknologi terbaharu, bandar yang bersih dan banyak kecerdasan buatan.”

Pada bulan Ogos lalu, Widodo mengumumkan ibu negara Indonesia akan berpindah dari Jakarta yang sesak dan dicemari ke satu kawasan di wilayah Kalimantan Timur di pulau Borneo yang mempunyai penduduk kurang padat, terkenal dengan hutan hujan dan orangutan.

Penempatan semula ibu negara baharu di kawasan seluas 256,000 hektar (632,580 ekar) yang hampir empat kali ganda saiz Jakarta itu akan menelan belanja sekitar 466 trilion rupiah (AS$34 bilion). Kerajaan dijangka memulakan pembinaan pada akhir tahun ini.

Pelabur dari Asia, Timur Tengah, Amerika Syarikat dan China telah menunjukkan minat untuk membangunkan bandar itu, jelas Pandjaitan. – AP

Presiden Indonesia Joko Widodo (tengah) bertemu dengan CEO SoftBank, Mayayoshi Son untuk membincangkan tentang projek pembangunan ibu kota baharu Indonesia. – Agensi