SoftBank kembali raih keuntungan

TOKYO, 11 OGOS – SoftBank Group hari ini melaporkan keuntungan bersih suku tahunan sebanyak AS$12 bilion sehingga Jun, pulih daripada kerugian yang dialaminya sebelum ini.

Pencapaian itu memberi satu ke-legaan buat ketua Masayoshi Son, yang menghadapi banyak kritikan selepas berdepan dengan cabaran dan tempoh kritikal bagi syarikat itu sebelum ini.

Son membuat satu perubahan dalam menjadikan sebuah syarikat telekomunikasi menjadi syarikat gergasi pelaburan dan teknologi dengan kepentingan dalam beberapa syarikat paling terkenal di Lembah Silicon melalui Dana Visi bernilai AS$100 bilion.

Tetapi dia berdepan dengan kesukaran dalam melaksanakan strategi pelaburannya dalam syarikat pemula, – termasuk syarikat perkongsian pejabat WeWork yang bermasalah – yang menurut beberapa penganalisis dinilai terlalu tinggi dan tidak mempunyai model keuntungan yang jelas.

Kenaikan 11.9 peratus keuntungan bersih kepada 1.26 trilion yen (AS$12 bi-lion) menjadikan SoftBank kembali bernafas selepas berdepan dengan tahun kewangan yang sukar dan menyaksikan masalah pelaburannya bertambah besar akibat wabak koronavirus dan kejatuhan dalam pasaran saham global.

Son telah menegaskan bahawa strateginya tepat, dan portfolio SoftBank cukup luas untuk mengatasi masalah yang dihadapi syarikat itu, tetapi mengakui cabaran ketika melaporkan kerugian bersih tahunan AS$8.9 bilion yang mengejutkan pada bulan Mei. – AFP

Seorang lelaki melintasi premis kedai mudah alih SoftBank di Tokyo, kelmarin. SoftBank Group melaporkan keuntungan bersih suku tahunan sebanyak AS$12 bilion sehingga Jun, pulih daripada kerugian yang dialaminya sebelum ini. – AFP