Soh Wai Ching sasar rekod dunia

KUALA LUMPUR, 21 OGOS – Jika berlari sambil mendaki anak tangga dalam masa satu jam suatu yang sukar, bagaimana pula berlari mendaki tangga setinggi 1.3 kilometer dalam masa sejam?

Itulah yang ingin dicapai pelari Malaysia Soh Wai Ching, 26, pelari menara nombor satu Asia dan nombor dua dunia, pada 18 November  ini untuk menempa namanya dalam Guinness World Records (GWR).

Menurut laman web GWR, Hari GWR – akan berlangsung pada tarikh tersebut tahun ini – bakal menyaksikan ribuan orang di seluruh dunia bersama-sama dengan satu tujuan untuk memegang gelaran.

Rekod semasa bagi pendakian tangga dipegang oleh pelari Sepanyol David Robles Tapia, yang berlari sambil mendaki tangga setinggi 1.227 kilometer di Zaragoza, Sepanyol, pada 20 Januari 2019.

Presiden Pengasas Persatuan Larian Menara Malaysia itu kini membuat persiapan untuk misi mendaki anak tangga bangunan 40 tingkat kira-kira 10 kali dalam satu jam, termasuk masa di dalam lif untuk turun kembali ke tingkat bawah.

“Saya telah mengemukakan permohonan saya kepada GWR, dengan harapan mendapat balasan positif, yang akan mengambil masa kira-kira 10 hingga 12 minggu.” – Bernama