Sokong ASEAN bida piala dunia

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Dalam mengukuhkan ikatan sedia ada sambil memupuk kerjasama baharu melalui sukan di peringkat global, Brunei mengalu-alukan dan menyokong agar ASEAN bersama-sama membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034 seperti yang diumumkan oleh pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, Thailand, Jun lalu.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin berkata demikian dalam kenyataan akhbar mengenai Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN ke-5 (AMMS-5) yang diadakan di Manila, Filipina, hari ini.

Mengiringi Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada mesyuarat tersebut ialah Duta Besar Brunei Darussalam ke Filipina, Puan Yang Terutama Hajah Johariah binti Haji Wahab dan Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan para pegawai kanan dari KKBS.

Pada mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menjelaskan bahawa sukan terus memainkan peranan penting dalam membawa komuniti tempatan dan antarabangsa sama-sama menyumbang ke arah keamanan dan kestabilan di negara masing-masing, serantau dan global.

“Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam komited untuk memudahkan dan mempromosikan keterangkuman melalui pendekatan sukan untuk semua,” jelasnya.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika menghadiri AMMS-5 di Manila, kelmarin.

“Contoh terbaik ialah aktiviti berbasikal sebagai hobi kebangsaan dan Regata Brunei yang diadakan setiap tahun sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang menyatukan peserta dari seluruh negara dan rantau ini. Tahap penyertaan tinggi dari semua lapisan masyarakat menunjukkan kesan penyatuan sukan pada peringkat kebangsaan serta sifatnya yang terangkum,” tambahnya.

Kenyataan juga menyebut bahawa Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada mesyuarat itu juga memaklumkan Brunei akan meneruskan komitmen memupuk persahabatan dan perpaduan yang lebih kukuh di kalangan masyarakat serantau dan antarabangsa melalui penganjuran beberapa pertandingan sukan yang berprestij.

Berhubung sukan berprestasi tinggi, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyambut baik bahawa ASEAN bergerak maju dalam menjalin kerjasama dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan berharap pembinaan kapasiti profesional dapat diusahakan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga berharap ini akan memberi laluan kepada pasukan bola sepak ASEAN untuk lebih menyerlah dalam pertandingan antarabangsa di luar rantau ini dan bersedia membuka peluang baharu untuk meneruskan kerjasama lain pada masa depan.