Sokong azam atlet negara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Dalam usaha meningkatkan nama acara sukan kecergasan crossfit di negara ini, Jurelena Juna atau lebih dikenali sebagai Nina Juna selaku penyandang gelaran Atlet Wanita Tercergas di Negara Brunei Darussalam sejak dua tahun lalu kini bertekad untuk meningkatkan lagi prestasinya di persada antarabangsa selain mengharumkan nama negara dalam sukan crossfit.

Ketika ditemui oleh Media Permata pagi tadi, beliau berhasrat untuk menyertai Pertandingan Sukan Reebok Crossfit yang diadakan setiap tahun di Madison, Wisconsin, Amerika Syarikat pada penghujung Julai ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar ada pihak sama ada persendirian mahupun syarikat atau pertubuhan di negara ini agar dapat menaja dari bentuk kewangan agar beliau dapat menyertai kejohanan berkenaan nanti.

Antara perbelanjaan yang harus ditanggungnya adalah tiket penerbangan, tempat penginapan dan sebagainya. Memandangkan jemputan penyertaan ke kejohanan berkenaan merupakan suatu yang sangat berharga, beliau sangat berharap untuk dapat menyertai kejohanan berkenaan. Selain itu beliau juga telah bersiap sedia dan berlatih secara intensif enam hari seminggu dan dua kali sehari bagi memastikan beliau dapat menandingi prestasi peserta lain, yang datang dari setiap pelosok dunia.

Dengan penyertaan Nina ke pertandingan berkenaan nanti, beliau akan menjadi perwakilan negara yang pertama menyertai pertandingan itu sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2007.

Nina yang merupakan seorang jurulatih dan atlet crossfit sepenuh masa pernah beberapa kali mengharumkan nama negara apabila berjaya memenangi pertandingan crossfit yang diadakan di peringkat negara mahupun antarabangsa.

Nina Juna ditemani oleh jurulatih beliau, Ang Ju Ming ketika sesi temu bual bersama Media Permata.