Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sokong bantahan terhadap diskriminasi EU

    KUALA LUMPUR, 16 Feb – Malaysia mendapat sokongan daripada beberapa negara utama Kesatuan Eropah (EU) berhubung pendiriannya menentang sebarang langkah bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit.

    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata perkara itu disampaikan kepadanya semasa beliau mengetuai delegasi Malaysia pada Perundingan Minyak Sawit Malaysia-EU di Eropah baru-baru ini.

    Resolusi Parlimen Eropah pada 17 Januari menggesa agar minyak sawit dikeluarkan daripada program biofuel EU menjelang 2020 kerana mendakwa pengeluaran minyak itu memusnahkan hutan.

    “Saya ke sana untuk berjumpa dengan menteri mereka bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mahukan layanan secara adil dari segi perdagangan. Isu ini penting bagi kami kerana 40 peratus daripada pengeluar minyak sawit kami terdiri daripada pekebun kecil dan keputusan itu akan menjejaskan sumber pendapatan mereka,” kata Mah.

    Mah yang juga Presiden Gerakan memberitahu demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran parti itu di sini, hari ini.

    “Kami mahu mereka tahu bahawa minyak sawit merupakan industri yang dikawal selia secara ketat di negara ini dan kami mempunyai satu dasar mampan untuk melindungi hutan kami,” kata Mah sambil menjelaskan bahawa beliau mendapat komitmen daripada beberapa negara untuk menentang sekatan yang dicadangkan itu.

    Dalam kenyataan sebelum ini, Mah berkata kerajaan Malaysia menentang resolusi berat sebelah itu, yang menindas minyak sawit berbanding minyak sayuran lain dan ia boleh menjejaskan sumber pendapatan 650,000 pekebun kecil sawit di Malaysia.

    Sepanyol dilaporkan sebagai negara anggota EU terbaharu yang menyuarakan bantahannya terhadap resolusi itu selepas Perancis, Sweden, United Kingdom (Anggota Parlimen Konservatif, sebahagian daripada parti pemerintah pimpinan Perdana Menteri United Kingdom, Theresa May), Jerman dan Belanda. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda