Tuesday, March 21, 2023
21.6 C
Brunei

-

Sokong bekas banduan kukuh jati diri

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Sokongan daripada ahli keluarga dan masyarakat adalah amat penting dalam membantu bekas banduan untuk mengukuhkan jati diri.

Sokongan berkenaan termasuk memberikan pekerjaan atau menyokong peniagaan mereka sebagai sumber pendapatan yang berdaya tahan.

Selain itu, memberi bimbingan dan motivasi kepada mereka supaya tidak terpengaruh semula untuk melakukan kesalahan di mana ia merupakan satu faktor utama yang menyumbang kepada residivisme.

Harapan itu disuarakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman ketika berucap pada Majlis Perbarisan Sempena Memperi-ngati Penubuhan Jabatan Penjara ke-69 yang berlangsung di Padang
Kawad, Pusat Latihan, Jabatan Penjara, hari ini.

Yang Berhormat Dato mendedahkan berdasarkan rekod, residivis bagi kohort 2018 adalah 7.53 peratus iaitu 40 daripada 531 jumlah banduan yang dibebaskan, kohort 2019 adalah 8.77 peratus iaitu 54 daripada 616 jumlah banduan yang dibebaskan serta kohort 2020 meningkat amat ketara sehingga 14.61 peratus iaitu 84 daripada 575 jumlah banduan yang dibebaskan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa berucap pada Majlis Perbarisan Sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penjara ke-69.

Menyedari akan pentingnya untuk menangani residivisme berkenaan, Jabatan Penjara secara berterusan menyediakan dan melaksanakan beberapa program seperti kerohanian termasuklah kelas agama, kelas Iqra, kelas hafazan Al-Quran, membaca Surah Yasin, Tahlil dan zikir, program kaunseling seperti sesi kaunseling dan ceramah-ceramah motivasi.

Selain itu, program pemulihan fizikal seperti latihan jasmani, kawad dan sukan serta juga termasuk program latihan kemahiran vokasional seperti pertukangan kayu, pertanian, memasak dan landskap sebagai usaha untuk memberi para banduan kemahiran dalam membantu mereka mempersiapkan diri apabila bebas nanti untuk mencari sebarang pekerjaan yang bersesuaian.

Yang Berhormat Dato seterusnya berkata bahawa kesalahan dadah dan curi merupakan dua jenis kesalahan yang menyumbang kepada residivisme di negara ini iaitu dalam kalangan warganegara tempatan.

Kesalahan-kesalahan lain, tegasnya, termasuk menceroboh, pecah rumah, kesalahan di bawah Akta Kastam, Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-mahkamah Kadi, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah dan lain-lain kesalahan.

Berdasarkan kepada perangkaan yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Dato itu, kemasukan kali pertama iaitu kes curi, dadah, menceroboh, pecah rumah, Akta Kastam dan Akta Majlis Ugama Islam, Mahkamah-mahkamah Kadi dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, dalam kalangan warganegara tempatan juga didapati meningkat di mana pada 2021 iaitu jumlah kemasukan adalah seramai 111 orang manakala pada 2022 iaitu 1 Januari hingga 31 Disember 2022, jumlah kemasukan adalah seramai 175 orang iaitu peningkatan sebanyak 57.7 peratus.

Beliau menerangkan lagi bahawa daripada jumlah 175 orang itu, 116 orang adalah dalam kalangan belia yang berusia antara 18 hingga 40 tahun dan seramai 127 orang atau 72.6 peratus banduan yang masuk pertama kali pada 2022 tidak mempunyai pekerjaan.

“Manakala jumlah banduan dalam kalangan warga asing yang dalam lingkungan umur 18 tahun hingga 51 tahun dan ke atas adalah seramai 120 orang bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen, Akta Kastam dan Eksais, curi, menceroboh, di bawah Penal Code dan lain-lain.”

Berdasarkan perangkaan itu, ia menunjukkan jumlah kemasukan pesalah ke dalam penjara adalah meningkat dan ia setentunya menjadi cabaran kepada Jabatan Penjara untuk memastikan pengurusan banduan termasuk logistik dan infrastruktur supaya sentiasa dalam keadaan baik.

Berikutan dengan cabaran-cabaran berkenaan, Yang Berhormat Dato percaya dengan usaha dan komitmen Jabatan Penjara dalam memberikan program pemulihan yang bukan sahaja memfokuskan kepada program keagamaan, kerohanian, motivasi, latihan jasmani tetapi juga berbentuk latihan kemahiran vokasional iaitu sebagai usaha untuk membangun dan memperkukuhkan jati diri banduan adalah sangat-sangat dihargai.

“Apa yang diharapkan agar Jabatan Penjara akan memantapkan lagi program pemulihan yang sedia ada dan mencari peluang-peluang serta pendekatan-pendekatan baharu dalam memperkasa program pemulihan yang diberikan,” ujarnya.

Seterusnya beliau berkata bahawa projek pembinaan Fasa 4 Penjara Maraburong di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11 akan melibatkan pengubahsuaian kantin Penjara Maraburong Fasa 1 untuk dijadikan ruang dan pastri bagi memberikan latihan kemahiran vokasional kepada banduan-banduan.

Dengan terlaksananya projek itu, Yang Berhormat Dato berharap ia akan memberi peluang pada Jabatan Penjara menyediakan pelbagai latihan yang lebih boleh dipasarkan.

Pada 2022, seramai 26 Rakan Seliaan (RS) yang berdaftar di bawah Bahagian Pemulihan dan Reintegrasi telah berjaya mendapatkan pekerjaan dengan syarikat swasta.

Selain itu, seramai 10 RS telah berjaya membuka perniagaan sendiri dan enam lagi RS yang lain telah ikut sama menjalankan perniagaan keluarga sendiri.

Manakala itu, pihak Aftercare Support Association (AFSA) telah memberikan pekerjaan kepada enam orang RS untuk bekerja di Bengkel Cuci Kereta AFSA, Sumbangsih Mulia.

“Ini menunjukkan komitmen dan inisiatif berterusan AFSA untuk membantu RS di bawah seliaan dan pemantauan pihak AFSA supaya mereka dapat terus berusaha meningkatkan taraf kehidupan masing-masing,” ujarnya.

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

India panggil diplomat tertinggi Britain, insiden demonstrasi di London

NEW DELHI, 20 MAC - India kelmarin memanggil diplomat tertinggi Britain di New Delhi bagi mengemukakan bantahan terhadap demonstrasi yang diadakan di luar premis...
- Advertisment -