KUALA LUMPUR, 11 FEB – Malaysia menzahirkan sokongannya kepada Arab Saudi dalam usahanya menjadi tuan rumah Ekspo Dunia 2030 di Riyadh, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Bagi tujuan ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan pengesahan kerajaan terhadap bidaan Arab Saudi sebagai tuan rumah untuk Ekspo Dunia 2030 dengan tema ‘The Era of Change: Leading the Planet to a Foresighted Tomorrow’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berkata ungkapan sokongan padu Malaysia adalah berdasarkan keyakinan terhadap infrastruktur cemerlang, kemajuan teknologi dan sumber kerajaan negara itu, serta transformasinya yang berpandangan jauh ke hadapan di bawah kepimpinan berkebolehan tinggi, yang begitu penting untuk mengendalikan ekspo bertaraf dunia.
Beliau berkata Malaysia dan Arab Saudi menikmati hubungan ekonomi yang berpanjangan dan strategik serta hubungan baik rakyat dengan rakyat.
“Malaysia mengesahkan kerjasama dan sokongan bersama dengan Arab Saudi merentasi spektrum luas perdagangan, pelaburan dan usaha kerjasama ekonomi,” tambahnya. – Bernama