Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) dan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS) akan dinyalakan dengan lampu berwarna biru bermula malam ini hingga 22 November sebagai sokongan negara kepada Hari Kanak-kanak Sedunia.
Lampu biru akan dinyalakan dari pukul 7 malam hingga 5 pagi, sehubungan itu, orang ramai dijemput untuk mengambil gambar jambatan-jambatan tersebut dan memuat naik ke dalam media sosial dengan menggunakan hashtag #UniversalChildrensDayBN atau #WorldChildrensDay. Warna biru dipilih sebagai lambang Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia bersempena dengan warna rasmi Tabung Darurat Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).
Hari Kanak-kanak Sedunia diraikan setiap 20 November di seluruh dunia sebagai komitmen negara yang telah meratifikasikan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (CRC) pada 27 Disember 1995.
