Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Sokong individu autisme berdikari

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Individu autisme menjadi tumpuan Projek Jangkauan Masyarakat bagi Kumpulan Synergy, Program Pembangunan Eksekutif untuk Pegawai Kanan Kerajaan (EDPSG) ke-29.

    Projek berkenaan memfokuskan kepada bantuan untuk orang dewasa dengan autisme dalam meningkatkan taraf kehidupan mereka dan hidup berdikari.

    Menerusi projek itu, sumbangan kelengkapan dan perabot berupa beberapa buah kerusi dan meja, kipas dinding, peralatan dapur dan langsir, hasil sumbangan para penaja dan hamba-hamba Allah, telah diserahkan untuk BJAK Cafe SMARTER Brunei.

    Dengan adanya kelengkapan berkenaan, BJAK Cafe boleh menggunakan tingkat 1 sebagai tempat para pelanggan beristirahat serta boleh digunakan sebagai majlis-majlis persendirian. Majlis penyerahan sumbangan berkenaan berlangsung di BJAK Cafe, Kolam Renang Anggerek Desa, Berakas.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Kumpulan Synergy EDPSGO-29, Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang; Setiausaha SMARTER Brunei, Dayang Hajijah binti Moktal, ahli-ahli BJAK Cafe dan wakil-wakil penaja peralatan.

    Gambar ramai bersama sumbangan yang disampaikan untuk BJAK Cafe SMARTER Brunei.

    Menurut kenyataan yang diberikan, objektif utama projek berkenaan adalah untuk mendapatkan kelengkapan serta perabot agar tempat pelanggan diperluaskan ke tingkat satu kafe. Ini akan menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan kapasiti pelanggan kafe yang mana menjadikan kafe tersebut sebagai tempat pelbagai guna seperti majlis persendirian.

    Selain itu, untuk mencari kaedah inovasi menggunakan platform dalam talian yang boleh membantu mengembangkan jangkauan kafe kepada pelanggan.

    Penggunaan sistem pesanan makanan dan minuman secara dalam talian telah dicadangkan dan berupaya untuk membantu pengurusan kafe dalam penyediaan makanan dan minuman kepada pelanggan.

    Projek percubaan itu akan dilaksanakan pada Mac akan datang melihat kepada perkembangan semasa serta kapasiti pelajar-pelajar SMARTER Brunei. Ini adalah salah satu cara bagaimana BJAK Cafe menyesuaikan perubahan dengan keadaan semasa endemik.

    Para penaja kelengkapan berkenaan terdiri daripada Dato Paduka Haji Alikhan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof, Firoz Jaya Silk House & Textile Palace, Isboh (B) Sdn Bhd, Intracorp (B) Sdn Bhd, Bahrin Mohammad & Associates – Consulting Engineers dan Keluarga Anggerek Puteh.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...