Sokong kerja sukarelawan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan menyokong Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2019 dengan melibatkan sebanyak 50 organisasi dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti sukarelawan.

Lebih kurang 58 projek sukarelawan akan dilaksanakan dengan melibatkan lebih 1,000 orang sukarelawan dalam Hari Bertindak 2019 yang berlangsung secara serentak di keempat-empat daerah dengan beberapa aktiviti telah diadakan bermula 1 Disember yang lalu.

Pelancaran Kempen Hari Bertindak 2019 telah diadakan kelmarin, yang telah diikuti dengan penyerahan bantuan dan makanan kepada Persatuan Pacuan Empat Roda Negara Brunei Darussalam, Alumni Program Belia Cinta Tanah Air dan Alumni Program Antarabangsa.

Penyerahan bantuan berkenaan disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, kempen telah berjaya menghimpunkan beberapa aktiviti yang berbentuk kerja-kerja amal seperti mengumpulkan barang-barang keperluan masjid dan telekung, mengumpulkan peralatan persekolahan yang didermakan oleh orang ramai, mengumpulkan peralatan bantu untuk golongan orang-orang kelainan upaya, membuat kerja-kerja kebersihan di kampung-kampung, pantai dan kawasan yang memerlukan pembersihan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai bersama anggota sukarelawan semasa aktiviti gotong-royong.
Antara aktiviti membersihkan kawasan pantai.

Di samping itu, aktiviti yang berbentuk bantuan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan turut diadakan di keempat-keempat daerah.

Pelaksanaan aktiviti-aktiviti tersebut melibatkan agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta, badan-badan bukan kerajaan, majlis-majlis perundingan mukim dan kampung, kelab-kelab dan pergerakan-pergerakan belia di seluruh negara.

Ini sesuai dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu Volunteer for an Inclusive Future, yang menumpukan penglibatan bersama dalam melaksanakan kerja-kerja sukarela.

Dengan adanya aktiviti sebegini akan dapat menyatupadukan masyarakat amnya dan komuniti dan pergerakan-pergerakan bagi menggerakkan dan menjalankan kegiatan yang bermanfaat untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

Sehubungan dengan itu, pentingnya menjaga kebersihan, menjaga keharmonian masyarakat, meningkatkan jati diri belia, daya kepimpinan, di samping melatih belia-belia untuk berkomunikasi dengan lebih dekat bersama masyarakat.