Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Feb – Kerjasama di antara institusi pengajian tinggi dan teknologi terutama di antara Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat (AS) dijangka akan terus meningkat khususnya dalam meneroka peluang-peluang pembangunan dan penyelidikan nilai-nilai ekonomi masa depan global dengan matlamat untuk menyumbang kepada aspirasi kedua-dua buah negara.
Peningkatan kerjasama institusi pengajian tinggi kedua-dua buah negara itu dipercayai mampu menyumbang kepada usaha untuk merealisasikan Wawasan 2035, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh wakil peribadinya, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.
Agenda ekonomi dan pembangunan bakat berkenaan memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak di kedua-dua buah negara, jelas Yang Berhormat Pehin lagi dalam teks ucapannya itu semasa perasmian Pameran Pendidikan Tinggi Amerika Syarikat 2017 yang berlangsung di Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Pehin berkata, kementeriannya akan meneruskan inisiatifnya untuk membangunkan dan menyediakan penuntut-penuntut Brunei menerusi skim-skim biasiswanya.
Menurut Yang Berhormat Pehin, terdapat pelbagai biasiswa antarabangsa bagi pelajar-pelajar antarabangsa termasuk pelajar dari Negara Brunei Darussalam yang ditawarkan oleh kerajaan AS seperti Biasiswa Fulbright.


Di samping itu, juga terdapat pelbagai biasiswa kerajaan dan bukan kerajaan yang ditawarkan termasuk biasiswa universiti bagi pelajar-pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian mereka di AS.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa Brunei mempunyai ramai pelajar berbakat yang boleh menerima biasiswa berkenaan setanding dengan penerima-penerima antarabangsa lain serta percaya bahawa peluang yang diberikan itu adalah selaras dengan usaha untuk membangunkan bakat tempatan negara di mana ia bukan sahaja akan membangunkan kapasiti manusia yang akan memimpin negara pada masa akan datang tetapi juga dapat meningkatkan kesefahaman kebudayaan di antara rakyat dan penduduk di antara Brunei dan AS.
Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Pehin mengingatkan para bakal penerima biasiswa pada masa akan datang untuk memanfaatkan peluang keemasan yang diberikan untuk mempelajari kemahiran, ilmu pengetahuan, teknologi dan budaya yang baru.
“Paling penting, saya menasihatkan pelajar-pelajar kita, duta-duta kecil kita, untuk mengetengahkan dan menegakkan nilai-nilai MIB kita dan watak keBruneian kita, serta pada masa yang sama mengukuhkan lagi hubungan di antara kedua-dua buah negara kita.”
Beliau juga menyatakan bahawa walaupun jumlah pelajar Brunei yang menuntut di AS masih kecil tetapi beliau menaruh harapan lebih ramai pelajar tempatan yang belajar di universiti-universiti terbaik itu.
Beliau berharap mereka akan membawa pulang nilai-nilai kecemerlangan daripada pengajian mereka itu termasuk nilai-nilai kerja, etika, pemikiran, kompetensi, motivasi, dan inovasi yang cemerlang di mana semua itu amat diperlukan bagi sebuah ekonomi yang baik.
Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya juga menyeru para pelajar untuk membuat pilihan tepat dalam memilih bidang pengajian serta universiti supaya mereka boleh memperoleh kemahiran teknologi, ilmu pengetahuan dan kompetensi yang diperlukan untuk berjaya di masa akan datang.
Beliau juga menyeru universiti dan kolej untuk terus relevan dengan memastikan mereka menyediakan suasana pembelajaran berkualiti tinggi kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang mustahak dalam merapatkan jurang kemahiran serta membangunkan bakat yang akan memimpin organisasi pada masa hadapan.